Terkini

Ibu bapa pelajar rasa tertipu gambaran disesi taklimat dan realitinya tak sama

“Semasa sesi taklimat berlangsung, kami dimaklumkan satu bilik didiami empat pelajar dengan kemudahan bilik rehat, dapur, tandas dan bilik kuliah yang selesa",kata bapa seorang pelajar.

Ibu bapa pelajar rasa tertipu gambaran disesi taklimat dan realitinya tak sama
Ibu bapa pelajar rasa tertipu gambaran disesi taklimat dan realitinya tak sama

Hamzah (bukan nama sebenar), 40-an, mendakwa pada mulanya dia dan isteri tertarik menempatkan anak perempuan mereka di kolej yang bertempat di Nilai, Negeri Sembilan itu selepas menghadiri sesi taklimat yang diadakan di Bangi, Selangor.

“Semasa sesi taklimat, kolej menjanjikan kemudahan bilik penginapan yang selesa, malangnya itu hanya ‘janji manis’ kerana pelajar bukan saja berhimpit seperti sardin, malah berkongsi dua tandas untuk 25 orang,” kata bapa kepada pelajar kolej kejururawatan.

“Mereka memaklumkan penginapan pelajar dikawal pengawal keselamatan 24 jam, berpagar dan dipantau sepanjang masa,” katanya ketika ditemui pada, sidang media mengenai Penipuan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini, semalam.

Pada masa sama, Hamzah berkata, dia dan ibu bapa lain dijanjikan anak mereka terus bekerja di hospital swasta atau kerajaan sejurus tamat belajar, selain menguruskan pinjaman pembelajaran RM42,000.

Tertarik dengan ‘janji manis’ itu, Hamzah berkata, dia bersetuju membayar wang pendahuluan RM1,780 sebelum dibawa ke bilik penginapan yang akan diduduki anaknya.

“Penginapan yang dijanjikan tidak ubah seperti bilik pendatang manakala bilik kuliah pula seperti stor simpanan yang tidak terurus, berbeza dengan gambar yang ditunjukkan sewaktu sesi taklimat.

Selain itu, tiada kemudahan perpustakaan dan makmal seperti yang dimaklumkan sebelum ini, malah sistem keselamatan pula langsung tidak dititikberatkan,” katanya.

Menurutnya, kecewa dengan keadaan itu, 95 peratus ibu bapa tidak bersetuju dan ingin membawa anak mereka pulang.

“Apabila saya dan beberapa ibu bapa meminta wang pendahuluan yang diberikan, kolej enggan membayarnya dan mengatakan surat perjanjian yang ditandatangani ada menyebut wang tidak akan dikembalikan.

“Sehubungan itu, kami berasa tertipu kerana dikaburi dengan gambar menarik semasa sesi taklimat. Saya bukannya orang senang dan nilai wang yang dibayar juga besar,” katanya.

Sementara itu, Hamzah juga menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memantau dan mengambil tindakan terhadap semua IPTS yang didapati tidak menyediakan fasiliti sempurna seperti dijanjikan.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya menerima banyak kes membabitkan penipuan yang menggunakan pendidikan sebagai modal untuk mengaut keuntungan.

“Ada pengadu yang datang daripada keluarga susah dan memaklumkan melaburkan wang ribuan ringgit tapi apabila melihat kemudahan tidak seperti yang dijanjikan, mereka rasa tertipu. Fasiliti yang disediakan tidak sesuai untuk sesi pembelajaran malah perpustakaan dan makmal tidak disediakan,” katanya.





sumber-hmetro

No comments