Terkini

Antara kekejaman rejim, mengikat zakar lelaki dan paksa minum banyak air

Reyhanli: “Lebih baik saya melarikan diri daripada menjadi tentera rejim (Basyar),” kata Muhammad Abdul Kader, 16.

Muhammad bersama Ketua Misi Muslim Care Bagi Bantuan Musim Pelarian Syria, Mohd Johari Ismail

Dia berasal dari Damsyik adalah antara jutaan remaja Syria yang sanggup mengambil risiko menjadi pelarian di negara asing untuk menyelamatkan diri dan akidah.

Menurutnya, golongan remaja sepertinya turut disasarkan untuk dibentuk secara paksa menjadi tentera rejim.

“Jika ada dalam kalangan remaja yang ditangkap tentera rejim, mereka akan paksa kami menyertai mereka.

“Kami tidak diberi pilihan selain ikut mereka sebab kaedah paksaan termasuk meletakkan kepala kami di atas lantai lalu dipijak,” katanya ketika ditemui pada misi bantuan musim sejuk kepada pelarian Syria oleh Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care).

Muhammad berkata, kaedah kekejaman rejim Basyar terhadap rakyatnya yang tidak menyokong kerajaan itu adalah pelbagai.

Menurut remaja yang kini sukarelawan Muslim Care Syria di Reyhanli itu, antara kekejaman rejim termasuk mengikat zakar lelaki dan memaksa minum air dalam jumlah banyak.

“Seksaan sebegitu sangat dahsyat sebab mangsa tak dibenarkan kencing.

“Selain itu ada kalangan saudara saya diseksa dengan terlalu kejam apabila kuku dicabut,” katanya sambil memberitahu menjadi tentera tidak dibenarkan solat.

Konflik kemanusiaan dahsyat Syria yang bermula Mac 2011 dan masih belum nampak tanda akan tamat dilaporkan berpunca daripada sekumpulan kanak-kanak dan remaja berusia sembilan hingga 15 tahun mengkritik pemerintah dengan pelbagai slogan ditulis di dinding sekolah di Daraa.

Mereka kemudian ditangkap pihak berkuasa dan didera sehingga menyebabkan rakyat Syria tidak berpuas hati dan berlakunya demonstrasi massa di Idlib, Aleppo, Hama, Homs, Baniyas, Latakia dan beberapa wilayah lain bumi Syam bangkit menentang kekejaman serta penindasan rejim Basyar.

Tekanan tentera menyebabkan rakyat Syria lari daripada kekejaman dan berdasarkan statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Januari tahun ini jumlah pelarian sudah meningkat lebih enam juta orang, sebahagian besar adalah wanita serta kanak-kanak.-hmetro

No comments