Terkini

Mayat kanak-kanak dan wanita ditemui dalam sebuah kubur besar

BAGHDAD – Pihak berkuasa Iraq menemui sebuah kubur besar di Ramadi dengan sekurang-kurangnya 40 mayat termasuk wanita dan kanak-kanak yang dibunuh militan Islamic State (IS) ketika mereka menawan bandar itu pada Mei tahun lalu, kata pegawai tempatan dan pihak polis.

Mayat kanak-kanak dan wanita ditemui dalam kubur besar
Pasukankeselamatan Iraq mengumpulkan cebisan mayat mangsa pembunuhan militan Islamic State 
dalam sebuah kubur besar di bandar Ramadi 

Beberapa keping gambar yang dikongsi di laman sosial Facebook polis wilayah tersebut kelmarin menunjukkan mayat reput dikeluarkan dari sebuah kubur cetek di ibu negeri wilayah Anbar itu yang ditawan semula tentera Iraq bulan lalu.

Ketua Polis, Mejar Jeneral Hadi Razij yang mengulas dalam satu rakaman video mengenai kubur tersebut dan seorang penasihat gabenor mengesahkan imej terbabit sebagai tulen.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Brigedier Jeneral Saad Maan turut mengesahkan laporan tersebut.

“Kami percaya kumpulan mangsa ini merupakan yang terakhir menentang IS sebelum Ramadi ditawan pada Mei 2015. Siasatan masih dijalankan,” kata Gabenor Wilayah Anbar, Sohaib Al-Rawi di laman sosial Twitter bersama paparan gambar beg-beg mayat di tepi jalan raya.

IS menawan Ramadi tahun lalu selepas tentera Iraq mening­galkan kedudukan mereka buat kali kedua dalam tempoh kurang setahun, menggagalkan usaha kerajaan menyekat kemaraan kumpulan militan tersebut.

Tentera Iraq yang disokong serangan udara tentera perikatan diketuai Amerika Syarikat menawan semula bandar itu Di­sember lalu tetapi kemusnahan teruk dan perangkap bahan le­tupan yang ditinggalkan anggota militan di jalan raya dan bangunan menghalang penduduk daripada pulang ke Ramadi.

Beberapa kubur besar telah ditemui di kawasan-kawasan yang ditawan semula daripada IS susulan tindakan kumpulan itu mengenakan sekatan dan hukuman keras terhadap penduduk awam dalam jajahan mereka.

Tidak jelas bagaimana mang­sa-mangsa terbabit dibunuh tetapi rakaman itu menunjukkan sebahagian daripada mereka digari ketika dibunuh.

Ramadi adalah bandar terbesar ditawan semula daripada IS sejak kumpulan militan itu mula menjajah kawasan besar di Iraq dan Syria bermula pertengahan 2014. – Reuters




No comments