Terkini

Aeril Zafril "Ajar" Pembeli Online Penipu

PEPATAH Melayu ada berkata, 'sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua'.

Aeril Zafril "Ajar" Pembeli Online Penipu

Ia paling tepat menggambarkan situasi yang dialami pelakon Aeril Zafrel.

Mana tidaknya, dia berjaya memerangkap seorang wanita yang membuat pembelian produk keluarannya iaitu Wawa Zainal dan Lima Waktu dalam talian namun tidak pernah membuat sebarang pembayaran.

Menjelaskan perkara itu, Aeril berkata, wanita berkenaan memperdayakannya dengan memberitahu sudah mendepositkan wang ke dalam akaun dan menghantar bukti namun transaksi itu tidak pernah berlaku.

"Dia mengambil tempahan produk keluaran saya banyak dan membuat pembayaran secara dalam talian dan menghantar bukti slip pembayaran menerusi Whatsapp.

"Pada awalnya pihak kami tidak menyedari dia cuba menipu tetapi selepas disiasat sebenarnya pembayaran yang dibuat tidak wujud.

"Pihak saya perasan perkara ini pun beberapa hari lalu selepas mendapati resit pembayaran yang dihantar sebenarnya telah diedit," katanya.

Jelasnya lagi, hasil siasatan juga mendapati terdapat beberapa lagi penipuan dipercayai dilakukan oleh individu sama walaupun menggunakan akaun bank dan nombor telefon berbeza.

Bagaimanapun dia dapat mengesan ia mempunyai kaitan apabila suspek menggunakan alamat sama untuk penghantaran pesanan.

"Dari siasatan itu maka terbukalah satu demi satu penipuan dan seolah-olah ia seperti terancang dan saya tidak pasti apa tujuannya atau perbuatan itu dilakukan oleh beberapa orang lain.

"Kalau sehelai dua mungkin saya boleh maafkan tetapi ini melibatkan kerugian puluhan ribu ringgit," ujarnya.

Sementara itu, Aeril berkata, pihaknya merancang memerangkap suspek sejak Selasa lalu dan bersyukur dengan bantuan pihak polis seorang wanita dipercayai dalang utama berjaya ditahan.

Bagaimanapun Aeril enggan mengulas lanjut mengenai penangkapan itu kerana kes itu telah pun jadi kes polis.

"Apa yang saya boleh katakan ia adalah bantuan daripada Allah dan Alhamdulillah suspek berjaya ditahan pihak polis.

"Dia kini ditahan di Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut," katanya.

Aeril menerusi Instagram turut memuat naik rakaman video wanita itu ditahan polis di sebuah lokasi.

Aeril Zafril "Ajar" Pembeli Online Penipu

"Tujuan saya dedahkan mengenai perkara ini kerana tidak mahu ada orang lain menjadi mangsa kerana sekarang banyak cara orang hendak menipu.

"Diharap kejadian menimpa saya dapat jadi pengajaran kepada peniaga atau pun pembeli lain agar tidak masuk perangkap penipu," katanya.

Sementara itu, Wawa menerusi Instagramnya pula memberitau dia amat berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya memberkas suspek daripada terus menipu orang ramai.

"Misi menangkap penipu beli barang kami berjaya! Alhamdulillah, terima kasih tuan-tuan, polis Malaysia memang pantas!

Bukan saya saja kena tipu tetapi ada lagi rakan yang lain, kalau tiga empat helai baju saya halalkan," tulisnya.

Wawa turut menasihati peniaga dalam talian yang lain agar sentiasa berhati-hati dan menyemak setiap pindahan wang dibuat sama ada berjaya atau pun tidak.

"Kepada peniaga online yang lain pastikan anda semua semak pindahan itu berjaya atau pun tidak. Hebat kakak itu menipu.

"Apa pun saya maafkan awak, moga jadi pengajaran," katanya.


Sumber : MstarOnline

No comments