Terkini

Petisyen Turunkan Potret Najib Di universiti UK Cecah 4,000 Tandatangan

Apabila Cassandra Chung memuat naik petisyen agar Universiti Nottingham di United Kingdom (UK) menurunkan poster Datuk Seri Najib Razak kerana sikap berdiam diri perdana menteri itu berkaitan sumbangan RM2.6 bilion, beliau menganggarkan akan hanya mendapat sekitar 100 tandatangan.

Petisyen Turunkan Potret Najib Di universiti UK Cecah 4,000 Tandatangan

Tetapi dalam masa 3 hari, pelajar undang-undang itu menerima hampir 4,000 tandatangan bagi menyokong usul untuk dikemukakan kepada University of Nottingham Malaysian Society.

"Kita sebenarnya sudah kemukakan usul dan buat masa ini, kita tidak akan menarik balik," Chung memberitahu The Malaysian Insider, ketika ditanya mengenai status gerakan beliau.

"Pada masa ini, kita sedang menunggu di Persatuan Malaysia meluluskan usul untuk dibahaskan di AGM minggu depan (mesyuarat agung tahunan)."

Tetapi Chung berkata, walaupun Persatuan Malaysia "selalunya sangat terbuka kepada kebanyakan cadangan ahli " beliau tidak pasti mereka akan menerima usul itu, memandangkan persatuan itu harus kekal neutral.

Katanya, beliau hanya ahli biasa dalam persatuan itu walaupun pernah sekali mencuba bertanding jawatan setiausaha kebajikan.

Bagaimanapun, mahasiswa itu gembira atas sambutan menggalakkan sejak petisyennya dimuat naik pada 8 Mac.

"Apabila petisyen di peringkat penggubalan, saya diberitahu beberapa kali yang petisyen itu tidak boleh mendapat banyak sokongan. Jadi ketika bermula, harapan adalah sekurang-kurangnya 100 tandatangan.

"Jadi bayangkan kejutan semua orang (termasuk Justin dan saya) apabila kami mencecah 1,000 dalam masa kurang 24 jam dan apabila pelbagai portal akhbar mengesan petisyen itu," kata Chung, merujuk kepada penyokong gerakan ini, Justin Ong.

Menangani tindak balas

Tetapi petisyennya itu walaupun popular, ada kemudaratannya.

Chung memberitahu, beliau menerima ancaman di atas talian dan nampaknya mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Kira-kira 2 atau 3 jam selepas petisyen itu dimuat naik, saya dimaklumkan seorang anggota jawatankuasa Persatuan Nottingham Malaysia yang Suruhanjaya Tinggi (Malaysia di Singapura) mencari mencari nombor saya.

"Saya menggeletar hingga akhirnya saya dapat tidur hanya 2 jam pada malam itu," katanya.

Tetapi Chung berkata, Suruhanjaya Tinggi masih belum menghubungi beliau, dan rakan-rakannya memberi jaminan mereka mungkin hanya mahu memberi beliau "kuliah satu jam."

"Rupa-rupanya, seseorang memberitahu saya petisyen itu berjaya beri tekanan ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia, Kelab Umno dan Suruhanjaya Tinggi," katanya.

Sementara itu, pengguna Facebook yang menggunakan nama Ab Jalil Backer menggesa pengguna media sosial untuk memberikan maklumat mengenai keluarga Chung kepadanya.

Menggelar petisyen itu satu "penghinaan tidak dapat diterima negara ini", Jalil berkata beliau mahu melihat bagaimana "suci"nya keluarga Chung .

"Bagi seorang pelajar Malaysia untuk membawa petisyen ini kepada universiti di luar negara dan membuat tuduhan yang dia sendiri tidak pasti benar adalah pengkhianatan terhadap negara," katanya.

"Suatu hari nanti, tidak mustahil apabila dia kembali, dia akan sabotaj negara sendiri jika dia tidak bersetuju dengan pemimpin."

Chung berkata, beliau ketawa apabila membaca posting Jalil itu kerana Jalil salah faham tentang petisyennya.

"Cara beliau menulis segala-galanya seolah-olah saya meminta Najib untuk meletak jawatan, apabila, jika dibaca dengan teliti, semua yang saya mahu adalah untuk beliau (Najib) menjawab dengan benar kepada dakwaan-dakwaan itu," kata Chung.

Tetapi beliau berkata, perasaan takut itu kemudian datang - bukan untuk dirinya, tetapi untuk keluarganya, yang mungkin maklumat peribadi mereka didedahkan di Internet.

Posting Jalil mendapat komen-komen menuduh Chung yang "tidak bersyukur" dan menggesa kerajaan untuk melucutkan kewarganegaraannya supaya beliau boleh "mereput" di luar negara.

Beberapa komen tertumpu kepada etnik beliau, walaupun Jalil menggesa mereka supaya tidak bersifat perkauman.

"Kaum ni memang ramai tak Sedar diri… asal keturunan merempat kat tanah Melayu sekarang 'kadok naik junjung'," tulis Mariati Radwan.

"Walaupun Bumiputera mempunyai hak istimewa di bumi Malaysia, tetapi orang2 kaya Malaysia dimonopoli orang Cina. Demokrasi macam mana lagi orang Cina mahu?" soal Nizar Hashim.

Rakan baik Chung cepat muncul untuk membantu beliau dan menyekat beberapa rakan Facebook Jalil.

Chung berkata, beliau juga ingin mengucapkan terima kasih kepada bekas aktivis pelajar, Fahmi Zainol yang mengkritik secara terbuka apabila Jalil mengheret keluarganya ke dalam isu itu.

"Walaupun saya masih bimbang, saya rasa tindakan kecil seperti itu, sokongan yang ditunjukkan itu tidak menjadikan ia begitu teruk," kata Chung.

"Orang lain memberi sokongan dalam cara mereka sendiri dan saya fikir ia sedikit sebanyak mengurangkan rasa takut; mengetahui akan ada orang yang menyokong saya dan keluarga."

Petisyen tentang ketidakadilan, bukan politik

Beliau juga berharap orang ramai tidak akan mentafsir usul beliau sebagai isu "Pakatan Harapan berusaha untuk menjatuhkan Najib".

"Fokus di sini adalah kepada masyarakat Malaysia secara keseluruhannya (bukan hanya di Nottingham tetapi di tanah air) yang perlu mengambil lebih inisiatif untuk bersuara.

"Saya berharap petisyen ini memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk bercakap mengenai isu-isu ketidakadilan" katanya.

Dalam maklumat berkaitan petisyen itu awal hari ini, Chung menggesa penandatangan untuk menarik lebih ramai orang, sambil berkata ini akan meningkatkan peluang masyarakat memberi perhatian kepada petisyen itu.

"Bagi penyokong petisyen ini, jika anda terima sebarang ancaman, saya menggesa anda semua untuk bertindak balas dengan rasional serta belas kasihan dan bukan bertindak balas dengan kata-kata tajam," tulisnya.

TMI Bahasa

No comments