Terkini

Warga asing perkosa rakan sekerja yang juga warga asing

Seremban: Tertuduh yang juga warga India, S R Dinesh Kumar, 34, berdepan dua pertuduhan merogol dan mencuri barangan milik wanita warga Pakistan di bilik di pusat jagaan orang tua di Taman Murugesu, di sini, jam 12.30 tengah malam, 27 Jun 2015.

Warga asing perkosa  rakan sekerja yang juga warga asing
DINESH dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Seremban selepas dijatuhi hukuman, semalam.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol wanita berusia 26 tahun itu mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, tertuduh didakwa mencuri wang RM35, komputer riba dan telefon bimbit milik mangsa.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Noora Nisa berkata, hukuman berat perlu dikenakan terhadap tertuduh selepas mengambil kira kepentingan awam dan mangsa trauma serta cedera akibat perbuatan itu.

“OKT (orang kena tuduh) pernah berumahtangga dan sepatutnya tidak melakukan perkara itu kepada wanita yang juga rakan sekerjanya ketika mencari rezeki bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, ketika penghakiman, Hakim Kamarudin Kamsun menegaskan kesalahan itu adalah serius, malah tertuduh adalah seorang warga asing dan merogol rakan sekerja.

Sehubungan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan pertama manakala lima tahun penjara (kedua), selain memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap.


sumber-hmetro

No comments