Terkini

Korupsi Di FAM - Surat Terbuka Kepada TMJ Sebelum DiLantik Secara Rasmi Esok

Pengumuman Tan Sri Annuar Musa menarik diri daripada perebutan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disebut-sebut sebagai calon paling layak untuk jawatan berkenaan secara automotik menang tanpa bertanding.

Korupsi Di FAM - Surat Terbuka Kepada TMJ Sebelum DiLantik Secara Rasmi Esok

Walau bagaimanapun, pengisytiharan secara rasmi kemenangan Tunku Ismail, yang juga merupakan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya boleh dilakukan pada Kongres FAM ke-53 yang dijadualkan berlangsung esok.

Menurut Annuar, keputusan tarik diri yang dilakukannya dua hari sebelum hari pemilihan adalah tanpa desakan mana-mana pihak dan ia sebagai memberi laluan kepada Tunku Ismail atas kesungguhannya, selain mahu beliau mengotakan segala janji untuk memajukan bola sepak negara.

“Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan DYTM TMJ boleh menjadi aset yang penting kepada FAM. Sokongan dan Perkenan DYMM Tuanku Sultan Johor juga adalah suatu penghormatan kepada bola sepak Malaysia. Justeru, DYTM TMJ perlu diberi peluang yang seluas-luasnya untuk melakukan sesuatu untuk bola sepak Malaysia dan mengotakan segala janji baginda,” ujar penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu.

Kemenangan Tunku Ismail ini secara langsung memberi harapan kepada peminat bola sepak tanah air yang selama ini berpegang kepada janji beliau untuk melakukan perubahan terhadap landskap bola sepak, yang mana antara perubahan yang ingin dilakukan oleh Tunku Ismail adalah merombak struktur FAM.

Tunku Ismail juga pernah berjanji mahu memberikan lebih suara kepada peminat bola sepak untuk meluahkan pandangan dan idea, selain memberi mandat kepada rakyat untuk memilih presiden mereka.

Sehari sebelum Tunku Ismail diumum secara rasmi menang kerusi nombor satu badan induk itu, seorang peminat dan pencinta bola sepak menerusi laman Facebooknya memuat naik surat terbuka yang ditujukan khas kepada presiden baharu.

Menerusi kemaskini tersebut, Sayf Ismail, yang merupakan bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM melahirkan ucapan tahniah atas kemenangan tersebut, selain mengemukakan beberapa pendedahan berhubung situasi dalaman FAM, yang mana perlu diubah segera oleh presiden baharu sebaik sahaja memimpin badan itu.

Menurut Sayf, isu paling besar yang sedang membelenggu badan bola sepak negara itu sejak sekian lama adalah rasuah, yang mana beliau mencadangkan supaya Tunku Ismail melakukan proses audit kewangan bebas terhadap perbelanjaan FAM bagi tempoh tiga tahun lepas.


“Tuan akan mendapati (dengan mudah) bahawa terdapat banyak penyalahgunaan kuasa dalam aspek pengagihan kontrak, pembayaran melebihi harga servis, juga perbelanjaan tak perlu dan berlebihan. Budaya korupsi sudah sangat berleluasa di FAM sehinggakan usaha untuk menyorok aktiviti ini dilakukan dengan cara ‘semi-pro’.

“FAM sentiasa berselindung di belakang amaran penggantungan keahlian FIFA jika ada campur tangan kerajaan (kemasukan siasatan SPRM). Apa yang rakyat tak tahu adalah FIFA akan mengalu-alukan siasatan SPRM jika ahlinya disyaki rasuah. FIFA juga takkan menggantung ahlinya kerana ini adalah usaha ke arah pentadbiran yang bagus,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selari dengan pendirian Tunku Ismail sebelum ini menyatakan bahawa beliau hanya akan bekerja dengan individu yang benar-benar layak sahaja, Sayf turut melahirkan perkara sama yang mana menurutnya, kebanyakkan pemikiran sekretariat FAM adalah ibarat bangunan Wisma FAM yang “sudah lama”, dan perlu ditukar atau diberi latihan semula.

“Banyak individu dalam sekretariat FAM yang perlu dilatih semula supaya mampu menjalankan tugas seperti yang tertera dalam jawatan mereka. Sudah sampai masanya bagi sekretariat ini untuk ditadbir secara profesional tanpa pengaruh politik.

“Saya mencadangkan agar Tuan melakukan reviu (semakan) Sumber Manusia (Human Resources) dan mendapatkan pertolongan FIFA dan AFC untuk menentukan individu mana yang perlu kekal dan digantikan.

"Proses ini sebenarnya sudah berjalan di bawah program persembahan kerja FIFA – satu inisiatif oleh bekas presiden FAM. Tetapi masalahnya, program tersebut hanya dijalankan separuh jalan sebelum dikuburkan cepat-cepat untuk mengekalkan status quo,” jelasnya.

Selain itu, Sayf berpendapat penubuhan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) juga adalah tidak menepati matlamat utama, yang mahu menggerakkan bola sepak Malaysia ke arah penswastaan, selain badan itu perlu dipimpin oleh individu yang berpengalaman dan prosesional.

Dari aspek kejurulatihan pula, Safy berkata, lebih ramai jurulatih yang berpengalaman, khususnya dari luar negara diperlukan bermula di peringkat akar umbi sehingga kepada skuad kebangsaan.

“Lebih banyak jurulatih berkualiti akan melahirkan lebih banyak pemain dan pasukan berkualiti.


“Sekali lagi saya mencadangkan agar kita mendapatkan kepakaran Jepun untuk membangunkan pelan kejurulatihan kebangsaan. Ini kerana cara kejurulatihan mereka berteraskan disiplin dan lebih sesuai dengan budaya kita,” katanya.

Skuad kebangsaan pula perlu diketuai oleh jurulatih luar negara sambil dibantu oleh jurulatih tempatan agar berlaku perpindahan teknologi, selain pasukan senior dan bawah-22 perlu dikendalikan di bawah jurulatih yang sama bagi memastikan konsistensi dalam cara dan falsafah permainan skuad kebangsaan.

“Jadi kepada Tuan Presiden, inilah pandangan saya tentang isu melarat dalam bola sepak Malaysia. Jika Tuan mendapati pendapat saya ada benarnya, saya harap saya sudah menyumbang kepada Tuan walau sekecil mana pun.

“Jika Tuan sudah tahu tentang perkara-perkara ini, saya gembira kerana Tuan dah tahu dan yakin Tuan akan memajukan bola sepak Malaysia.

Mewakili seluruh rakyat Malaysia, kami optimistik dengan masa depan dan akan menyokong Tuan selagi Tuan berjuang untuk memajukan bola sepak Malaysia. Selamat berjaya, Tuan,” kata Sayf mengakhiri catatannya.

Kongres FAM ke-53 yang akan berlangsung esok bakal menyaksikan sebanyak 17 kerusi bakal diisi, yang mana jawatan presiden secara tidak rasmi sudah dimenangi oleh Tunku Ismail.

Seramai 39 perwakilan dan ahli gabungan FAM akan membuang undi.

Sumber : MalaysianDigest.Com




No comments