Terkini

Datuk Vida Tawar Hati Untuk Teruskan Taja Kelantan

PASUKAN bola sepak The Red Warriors menerima tamparan yang hebat apabila penaja utamanya, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman memberitahu bahawa beliau sudah tawar hati untuk meneruskan tajaannya kepada skuad tersebut.

Datuk Vida Tawar Hati Untuk Teruskan Taja Kelantan

Lebih dikenali sebagai Datuk Vida, beliau mempunyai perancangan untuk menamatkan tajaan kepada pasukan itu lebih awal dari tempoh sebenar, selama dua musim.

“Hati saya sudah retak, sudah tiada lagi ‘bahang’ seperti dahulu. Saya kecewa dengan prestasi Kelantan dan saya rasa ia tidak berbaloi dengan pelaburan besar saya.


“Saya orang bisnes, jadi saya amat terkesan dengan prestasi hambar pasukan yang sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan pengguna,” kata Datuk Vida kepada mStar online.

Tambahnya, beliau akan berjumpa dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa untuk mengesahkan keputusannya itu dalam masa yang terdekat.

Menjawab tentang persoalan tempoh kontrak tajaan yang masih belum berakhir, beliau berkata;

“Suami isteri pun kalau kahwin akan janji nak hidup semati tapi kalau dah sakit jiwa, cerai jelah. Buat apa nak tanggung derita.”

Sebelum ini terdapat khabar angin yang mendakwa beberapa pemain pasukan Kelantan bakal meninggalkan pasukan tersebut, termasuklah Wan Zack haikal, Mohd. Badri, Wan Zaharulnizam, Nor Farhan, Khairul Fahmi dan Brendan Gan.

Menurut Datuk Vida, beliau ada mendengar spekulasi tersebut tetapi tidak menjangka jumlah pemain begitu ramai dan membabitkan nama-nama besar dalam pasukan.



No comments