Terkini

Kad Pengenalan Elektronik Kesan Suami Curang

Jakarta - Penggunaan kad pengenalan elektronik (e-KTP) oleh kerajaan bukan sahaja memudahkan pengurusan data penduduk tetapi turut membantu wanita mengesan sekiranya suami mereka berkahwin dua, kata pegawai semalam.

Kad Pengenalan Elektronik Kesan Suami Curang

Ketua Pengarah pendaftaran penduduk dan sivil, Zudan Arif Fakrulloh berkata, melalui e-KTP, setiap penduduk mempunyai hanya satu nombor pengenalan yang membolehkan mereka mendaftar dalam Kad Keluarga.

“Saya sering mendapat aduan daripada orang ramai kerana mereka tidak boleh lagi mendaftar untuk mendapatkan tiga Kad Keluarga sekali gus.

“Seorang lelaki mengadu isterinya mengamuk kerana dia tidak boleh mendaftarkan suaminya dalam Kad Keluarga.

“Akhirnya, lelaki itu terpaksa mengaku dia sebenarnya sudah mempunyai isteri,” katanya yang dipetik Jakartapost.com, semalam.

Menurutnya, dia menyeru penduduk Indonesia segera menukar kad pengenalan mereka kepada e-KTP supaya data mereka boleh dikemaskini.

“Jadi wanita di sini pergi periksa Kad Keluarga anda bagi memastikan data suami anda di dalamnya,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya ada individu cuba mendapatkan dua kad pengenalan, rekod dalam e-KTP yang mengandungi data imbasan cap jari dan retina mata akan mengesan tindakan itu. - Agensi

No comments