Terkini

Lelaki Cipta Katil "Ajaib" Keluarkan Batu Karang Isterinya

BEIJING - Seorang lelaki dari wilayah Jiangxi mencuri perhatian ramai apabila berjaya mencipta sebuah katil luar biasa yang dapat membantu mengeluarkan batu karang pada buah pinggang isterinya tanpa sebarang pembedahan.

Lelaki Cipta Katil "Ajaib" Keluarkan Batu Karang Isterinya

Menurut portal Oddity Central, pesawah berusia 52 tahun, Zhu Qinghua mula memikirkan cara untuk membantu isterinya sejak 1993 apabila wanita itu yang telah menjalani pembedahan membuang buah pinggang kirinya dikesan mengalami masalah batu karang di buah pinggang kanan.

Doktor memberitahu pembedahan terlalu berisiko bagi seseorang yang mempunyai satu buah pinggang dan menasihatkan mereka mencari alternatif sebelum batu karang menjadi besar.

Qinghua berkata, inspirasi mencipta katil istimewa itu terhasil pada 1997 apabila doktor menasihatkan isterinya ‘berdiri terbalik’ selama beberapa minit setiap hari bagi membantu menyingkirkan batu karang dengan mudah.

Lelaki tersebut mengambil masa sebulan mereka pelan dan mengeluarkan kos 1,000 yuan (RM640) untuk menyi­apkan katil tersebut yang ba­nyak menggunakan barang-barang terpakai di sekitar rumahnya.


Katil yang direka khas itu mampu berputar 360 darjah dan memastikan pengguna berada dalam keadaan terbalik, di sam­ping memberikan rangsangan getaran yang dihasilkan daripada roda traktor untuk membantu mengeluarkan batu karang secara semula jadi.

Menurut Qinghua, selepas menghabiskan masa selama 10 minit duduk di atas katil itu dalam tempoh lima hari berturut-turut, batu karang di buah pinggang isterinya terkeluar dengan sendiri­nya tanpa sebarang rasa sakit.

Hasil positif itu menyebabkan penduduk kampung ingin membeli katil tersebut namun Qinghua terpasa menolak permintaan mereka kerana tidak mempu­nyai lesen menjual peralatan per­ubatan.

Sebaliknya, Qinghua membenarkan pesakit batu karang menggunakan katil tersebut secara percuma dan menurut laporan media China tahun lalu, ciptaan inovatif itu berjaya menyembuhkan tiga penduduk kampung yang menghidap masalah sama.

Pesawah itu juga dilaporkan berjaya mendapatkan paten untuk katil berkenaan pada 2014 dan berharap dapat memperbaiki kehidupan lebih ramai pesakit yang bergelut dengan masalah batu karang.

UtusanOnline

No comments