Terkini

Facebook Keluar "Amaran Bom Palsu", Cetus Kemarahan Warga Thailand

Bangkok - Facebook mencetuskan ketakutan dan kemarahan pengguna di Thailand kelmarin apabila aplikasi ‘Safety Check’ laman sosial itu mencetuskan amaran bom palsu di Bangkok.

Facebook Keluar "Amaran Bom Palsu", Cetus Kemarahan Warga Thailand

Aplikasi itu membolehkan pengguna memberitahu rakan bahawa mereka selamat selepas sesuatu kejadian seperti serangan pengganas atau bencana alam.

Bagaimanapun, aplikasi itu tersilap pada lewat kelmarin apabila mencipta laman amaran yang dinamakan ‘Letupan di Bangkok’ dan mendakwa satu letupan di bandar itu disahkan beberapa sumber.

Laman itu tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai kejadian berkenaan tetapi mempunyai pautan dengan beberapa artikel mengenai serangan bom di Bangkok pada Ogos 2015 yang membunuh 20 mangsa.

Selepas ramai pengguna menyatakan mereka selamat, laman itu dinyah aktif sejam kemudian kira-kira jam 10 malam (waktu tempatan), menyebabkan penduduk berasa lega dan juga kecewa dengan amaran palsu berkenaan.

“Amaran palsu yang dikeluarkan Facebook ini merosakkan imej Thailand.

“Tahun Baru semakin hampir dan kini pelancong mungkin tidak akan datang ke sini,” kata seorang pengguna, Prasit Silhanisong yang mendesak Facebook meminta maaf.

Facebook dalam satu kenyataan mempertahankan aplikasi itu dan mendakwa amaran itu diaktifkan dengan laporan letupan kecil yang dibaling penunjuk perasaan berhampiran Rumah Kerajaan kelmarin.

Insiden letupan itu yang tidak menyebabkan kecederaan atau kerosakan turut dilaporkan oleh media tempatan.

“Aplikasi itu diaktifkan di Thailand susulan satu letupan,” kata jurucakap Facebook dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, insiden di Bangkok berkenaan disahkan oleh pihak ketiga.

Sumber - MetroOnline

No comments