Terkini

Pencari siput terkorban cuba selamatkan kru pesawat terhempas

Seorang pencari siput terkorban ketika cuba menyelamatkan anak kapal pesawat pengangkut CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat pendaratan cemas di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor pagi semalam.

Pencari siput terkorban cuba selamatkan kru pesawat terhempas
Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Bomba dan Penyelamat terpaksa mengharungi lumpur untuk sampai ke lokasi pesawat TUDM jenis CN235 terhempas di kawasan pantai berdekatan Asam Jawa kira-kira jam 8.40 pagi tadi. Kesemua lapan anak kapal pewasat malang dilaporkan selamat. – fotoBERNAMA

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ruslan Abdullah berkata difahamkan Abu Hassan Abdul Latif, 57, cuba mengeluarkan anak kapal tersebut namun dia terperangkap dalam lumpur.

"Lelaki itu disahkan meninggal ketika dalam perjalanan ke Hospital Tanjong Karang dan punca sebenar kematian dalam siasatan ... kami klasifikasikan kes ini sebagai (SDR) mati mengejut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Adik Abu Hassan, Jamaliah Abdul Latif, 24, berkata beliau mendapat panggilan telefon kira-kira 11 pagi bagi melakukan pengecaman mayat di Hospital Tanjung Karang.

"Saya bergegas ke hospital bersama anak saudara bagi melakukan pengecaman mayat dan memang sah itu abang saya.

"Abang saya setiap pagi akan keluar pergi mencari siput sebagai sumber untuk menyara dirinya yang masih belum berkahwin. Dia tinggal berseorangan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Jamaliah berkata Abu Hassan yang juga anak sulung daripada enam beradik itu terkenal dengan sifat suka membantu orang lain tanpa mengira diri sendiri.

"Dia memang ringan tulang...suka menolong kami adik-beradik dan orang kampung yang lain. Kehilangannya amat kami rasai," katanya.

Dalam insiden 8.50 pagi tadi, sebuah pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa lapan orang anak kapal dilaporkan mendarat cemas di pesisir pantai berhampiran Batu 2, Kuala Selangor.

Kesemua mangsa berjaya diselamatkan selepas dibantu nelayan tempatan yang berada di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai insiden pesawat itu, Ruslan berkata siasatan awal menunjukkan pesawat berkenaan terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan terdapat kerosakan pada enjin pesawat.

"Kesemua anak kapal termasuk seorang wanita disahkan selamat cuma pembantu juruterbang didapati patah tangan. Kesemua mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan kemudian dibawa ke Pangkalan TUDM Subang," katanya.

Katanya lapan anak kapal yang terlibat terdiri daripada pegawai berpangkat Mejar, Kapten, Leftenan, Pegawai Waran dan Sarjan Udara yang berusia lingkungan 30 hingga 40-an.

Mengulas lanjut, beliau berkata semua siasatan berhubung insiden itu adalah di bawah kendalian pihak TUDM.

"Kesemua siasatan dan tindakan di bawah kendalian TUDM, kami cuma membantu mengawal keadaan sahaja. Rangka pesawat juga dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari untuk dibawa keluar," katanya.
-- BERNAMA

No comments