Terkini

Terpaksa kosongkan jalan untuk mat rempit, dah tiada beza mat rempit dan VVIP

KUALA LUMPUR: Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ingin membenarkan perlumbaan jalanan mat rempit di tengah bandar mendapat banyak kecaman di laman sosial termasuk dari kalangan wakil rakyat.



Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh berkata "Mat Rempit didahulukan, yang ada biasiswa diberhentikan," katanya di twitter.

Twit beliau jelas dituju kepada cadangan Tengku Adnan untuk menutup jalan bagi memberi laluan kepada mat rempit berlumba.


Sementara itu, aktivis sosial dan juga peguam, Art Harun turut mengecam kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

"Apa perbezaan antara mat rempit dan VVIP? Ya. Ada orang kosongkan jalan untuk mereka.

"Daripada mengosongkan jalan untuk mereka berlumba, boleh saya cadangkan Mat Rempit dijadikan pengiring VVIP untuk memuaskan kehendak kelajuan," twit Art Harun.



Malaysian Digest sementara itu mendapatkan kenyataan daripada Ketua Pemuda Parti Gerakan, Tan Keng Liang yang juga tidak setuju dengan cadangan memberi laluan kepada mat rempit berlumba di waktu malam.

Katanya, Malaysia mempunyai pelbagai fasiliti sukan termasuk untuk perlumbaan permotoran, maka penganjuran perlumbaan di jalan raya sangat tidak sesuai.

"Mereka (mat rempit) perlu ke litar lumba di Sepang. Kita tidak boleh membenarkan mereka berlumba di jalan raya. Mana-mana negara luar tidak pernah mempromosikan perlumbaan jalanan," ujarnya.

"Apabila mereka dibenarkan untuk berlumba dijalanan, mereka akan berlatih. Dimana mereka akan berlatih kalau tidak di jalanan?" tegasnya.

Tambah beliau, sekiranya pengajuran ini dilakukan dengan kaedah tepat ianya boleh mengasah bakat pelumba tersebut ke peringkat lebih tinggi.

"Saya tidak menghalang mereka berlumba tapi ianya perlu dilakukan di tempat yang betul. Perlumbaan juga salah satu daripada sukan, dan kita ada pelumba tempatan yang hebat," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, cucu kepada bekas Timbalan Perdana MenteriDr Ismail Abdul Rahman, Tariq Ismail menyatakan pelbagai masalah akan timbul sejurus perkara tersebut dibenarkan.

"Perlumbaan malam KL adalah penyelesaian jalan pendek. Ianya bukan hanya mengenai perlumbaan semata-mata, perjudian disebalik perlumbaan tersebut, ganjaran wanita yang diterima oleh pemenang, keselamatan pesertadan tidak dilupakan, pemandangan yang menyakitkan mata.

"Para belia perlukan bimbingan, bukan kebebasan membuat onar," katanya di Facebook.

Tengku Adnan kerap mengeluarkan kenyataan memburukkan pentadbiran kerajaan.

Sebelum ini, beliau diherdik kerana melarang badan bukan kerajaan Soup Kithen memberi makanan kepada golongan gelandangan dalam radius 2 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Beliau juga pernah mencetuskan panik dengan mendakwa Bukit Bintang, Bangsar, Hartamas, The Curve, Publika dan Menara KL sebagai kawasan sasaran pengganas yang kemundiannya ditanggung pihak polis apabila dikecam ramai pihak.

Sumber- MalaysianDigest

No comments