Terkini

Anak Berharap Penuhi Amanat Terakhir Allahyarham SM Salim

Kuala Lumpur - Keluarga Allahyarham Tan Sri SM Salim berharap stesen radio dan badan penyiaran tempatan tidak menyiarkan lagu dendangan Allahyarham dalam tempoh terdekat.

Anak Berharap Penuhi Amanat Terakhir Allahyarham SM Salim

Anak Allahyarham, Sheikh Shamsul berkata, ia sebagai memenuhi amanat yang pernah ditinggalkan seniman itu ketika hayatnya supaya lagu-lagu nyanyiannya tidak disiarkan sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggal dunia.

"Oleh itu kami berharap media tidak memainkan lagu Allahyarham sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari ini.

"(Namun) terpulang kepada budi bicara media untuk menyusun apa yang terbaik untuk arwah dan orang awam secara umum," katanya di sini, hari ini.

Shamsul berkata perkara itu pernah dibincangkan bersama bapanya yang pernah berpesan supaya lagu-lagu beliau tidak dimainkan selepas pemergiannya.

Namun Shamsul berkata ia adalah perkara subjektif kerana kebanyakan hasil seni Allahyarham berada dalam simpanan media.

Allahyarham SM Salim, 88, atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada 5.45 petang hari ini kerana sakit tua.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini, selepas solat Jumaat esok.

Jenazah dijangka disolatkan di Masjid Jamek Kampung Baru pada 10.30 pagi esok.

Allahyarham memulakan karier sebagai penyanyi pada 1950-an dan adalah pendukung gigih lagu Melayu klasik.

- MetroOnline



No comments