Terkini

Video : Gara-gara "Tetamu Tak DiUndang" Sidang Media GV3 Kecoh Sekejap

DI sebalik kehangatan konsert akhir Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada Ahad lepas yang menyaksikan Azharina Azhar dinobat sebagai juara, sidang media yang diadakan sejurus pengumuman pemenang pula bertukar kecoh berikutan kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang.

Video : Gara-gara "Tetamu Tak DiUndang" Sidang Media GV3 Kecoh Sekejap

Kekecohan berlaku susulan seekor lipas secara tiba-tiba muncul dan cuba memasuki kain penyanyi Siti Sarah, yang merupakan pemenang tempat kedua bagi pertandingan tersebut.

Video yang dimuat naik Siti Sarah di laman Instagramnya @sitisarahraissuddin menunjukkan kejadian berlaku ketika pemenang tempat ketiga iaitu vokalis kumpulan Umbrella, Zarul sedang menjawab soalan daripada wartawan.

Menerusi video berkenaan, Siti Sarah pada mulanya telah diberi isyarat oleh seseorang bahawa terdapat sesuatu pada kainnya, sebelum beliau menyedari kehadiran serangga tersebut.

Terkejut dengan kehadiran lipas itu, Siti Sarah yang duduk di atas kerusi dilihat dengan pantas bertindak mengibas-gibas busananya, yang mana ia turut dibantu oleh Azharina, sebelum kedengaran kedua-dua artis wanita itu menjerit “lipas” beberapa kali.

Bagaimana, Zarul yang duduk di sebelah Siti Sarah segera bangun dan memijak serangga tersebut. Tindakan Zarul yang disifatkan sebagai hero yang menyelamat Siti Sarah mengundang sorakan para pengamal media.


“Kejadian malam pc (sidang media). Sapa sangka banyak drama yang akan berlaku.. Sampai dah habis pon nak drama. Apabila lipas masuk kain Sarah... Nasib baik ada abg @zarulumbrella yang sudi nak tolong Sarah. Dialah yang selamatkan Sarah. Dialah hero hahahah,” tulis Siti Sarah yang terkenal dengan lagu Kesetiaan di Instagramnya.

Insiden tersebut telah menarik perhatian ramai netizen yang menyifatkan ia sebagai kelakar, selain ada yang memuji sikap ‘macho’ Zarul yang bertindak pantas menenangkan keadaan dengan membunuh lipas tersebut.

Terdahulu, konsert akhir GV3 telah diadili oleh empat juri iaitu Datuk Ramli MS, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah dan penampilan istimewa, Hetty Koes Endang.

Pemenang tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing dimenangi oleh Ameng, Intan Sarafina dan Gmie.


Instagram - SitiSarahRaissuddin/MD


No comments