Terkini

KSU Kementerian, 2 Anak Lelaki Direman 7 Hari

PUTRAJAYA – Seorang ketua setiausaha (KSU) sebuah kementerian yang bergelar ‘Datuk’ dan dua anak lelakinya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya untuk menerima rasuah.

KSU Kementerian, 2 Anak Lelaki Direman 7 Hari

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan KSU yang berumur 59 tahun itu bermula hari ini sehingga 11 Jan.

KSU itu yang ditahan di kediamannya di USJ, Subang pada 8 pagi semalam oleh SPRM, tiba di perkarangan mahkamah memakai baju lokap SPRM berwarna oren dengan menutup muka dengan baju kemeja jalur.

Dua orang anaknya yang masing-masing berumur 29 dan 34 tahun pula ditahan semalam, semasa diambil keterangan di ibu Pejabat SPRM.

Dua anak lelaki KSU itu merupakan pengarah urusan dua syarikat berbeza.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib berkata siasatan kes terhadap ketiga-tiga individu itu dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Seksyen 165 Kanun Keseksaan menyatakan penjawat awam menerima benda yang berharga, dengan tiada balasan, daripada orang yang ada kena-mengena dalam apa-apa prosiding atau urusan yang dijalankan oleh penjawat awam itu.

Semalam, SPRM merampas dan menyita wang tunai serta jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta susulan penahanan KSU itu, selain merampas beberapa barangan mewah termasuk jam, beg tangan, pen dan sejumlah mata wang asing. – BERNAMA


No comments