Terkini

Telefon Bimbit Penyelamat Dari Maut

Istanbul - Seorang rakyat Amerika Syarikat terselamat daripada maut dalam kejadian serangan yang membunuh 39 orang di sebuah kelab malam di sini, semalam, apabila peluru mengenai telefon bimbitnya.

Telefon Bimbit Penyelamat Dari Maut

Jacob Raak, 35, dari Delaware, yang berada di Istanbul melawat rakannya, cedera akibat terkena tembakan di kaki namun satu lagi peluru memusnahkan telefon bimbitnya yang menyebabkan kecederaan minimum.

Raak yang memiliki kilang aero angkasa TECH Manufacturing Corp, antara 600 orang meraikan Tahun Baru dalam kelab malam Reina apabila seorang lelaki bersenjatakan raifal Kalashnikov masuk dan melepaskan tembakan rambang, kira-kira 1.15 pagi.

Menurut laporan WPVI-TV, Raak akan dibenar keluar dari hospital dalam sehari dua ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan seorang taikun hartanah terkenal India antara korban serangan itu.

Menteri Luar India Sushma Swaraj berkata di New Delhi, dua rakyat India maut dalam kejadian itu.

Mereka dikenal pasti sebagai Abis Rizvi, ketua pegawai eksekutif Rizvi Builders, yang berpejabat di Mumbai, dan Khushi Shah dari Gujarat.

Abis ialah anak lelaki Akhtar Hasan Rizvi, pemaju hartanah terkenal dan bekas anggota parlimen.

Beliau juga penerbit filem dan antara filem terbitannya bertajuk ‘Roar: Tigers of the Sundarbans'.

Seramai 70 lagi cedera dalam serangan itu dan polis Turki kini sedang memburu penyerang terbabit yang dipercayai anggota kumpulan militan Negara Islam (IS).

Sumber-HarianMetro



No comments