Terkini

Wanita Kongsi Detik Cemas DiCulik Tujuh Jam

KUALA LUMPUR - Seorang akauntan bebas menempuh detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki selama tujuh jam sebelum ditinggalkan di tepi Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

Wanita Kongsi Detik Cemas DiCulik Tujuh Jam
Gambar Hiasan

Kejadian bermula kira-kira jam 10.20 pagi, ketika wanita berusia 26 tahun itu sedang menunggu seorang lelaki atas urusan kerja di sebuah kafe yang terletak di tingkat bawah dalam pusat membeli-belah Setapak Sentral.

Tiba-tiba tiga lelaki berusia lingkungan 30-an dikatakan meluru ke arah mangsa dan menariknya keluar secara paksa sebelum membawanya lari menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berwarna putih.

Menurut sumber, suspek dikatakan melarikan mangsa hingga ke Temerloh, Pahang sebelum menyedari rupanya mereka tersalah sasaran.

Berikutan itu, kenderaan suspek berpatah balik ke ibu negara dan kemudian meninggalkan mangsa di tepi lebuh raya berkenaan pada jam 5.30 petang tadi.

Sumber berkata, mangsa yang dalam ketakutan kemudian menghubungi ibunya memaklumkan dia selamat sebelum menaiki teksi dan pulang ke rumahnya di Setapak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata siasatan awal mendapati suspek menggunakan kenderaan yang disewa dan melarikan dua telefon bimbit milik mangsa.

"Kejadian turut disaksikan beberapa orang awam yang berada di situ.

"Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di ibu jari kaki kanan dan tangan kiri kerana bergelut dengan suspek dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

"Kenderaan digunakan suspek juga sudah ditemui dan dirampas," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini. Katanya, usaha mengesan suspek giat dilakukan dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif kejadian dengan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang.

Sumber - BhOnline

No comments