Terkini

Dzil Mikhail, kanak-kanak tersepit kaki di eskalator masih trauma dengan kemalangan itu

Kanak-kanak malang, Dzil Mikhail Nasaruddin, 4, yang terputus sebahagian tapak kaki kirinya akibat tersepit di eskalator di KL Sentral Isnin lalu tidak mahu menaiki keretapi lagi selepas insiden itu.

Dzil Mikhail tersepit kaki di eskalator masih trauma dengan kemalangan itu
Dzil Mikhail Nasaruddin, 4, yang terputus sebahagian tapak kaki kirinya akibat tersepit di eskalator di KL Sentral

Bapanya, Nasaruddin Mohd. Idris, 40, berkata, anak tunggalnya masih trauma dengan kemalangan itu kerana kerap terjaga dan menangis setiap malam.

Hati bapa itu cukup sayu setiap kali Dzil Mikhail mengadu tentang kakinya yang rosak setiap kali dia melihat kakinya yang masih berbalut.

"Kami sedih dan kadangkala tidak dapat menerima hakikat anak yang dilahirkan sempurna kini terpaksa melalui menjalani kehidupan yang perit akibat kehilangan anggota badan dalam sekelip mata.

"Saya pernah bertanya sama ada dia masih ingin menaiki keretapi lagi, dia kata tidak mahu menaiki keretapi lagi," katanya ketika ditemui Wad 7, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur sewaktu menerima kunjungan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim hari ini.

Kegirangan Dzil Mikhail untuk menaiki keretapi diragut apabila kakinya tersepit di eskalator di KL Sentral.

Ketika kejadian, Dzil Mikhail dan ibu bapanya membawa beliau menaiki tren dari Sri Petaling ke KL Sentral dan mereka perlu menaiki eskalator untuk menaiki tren ke Sri Petaling semula.

Semasa berada di atas eskalator itu, kaki anaknya tiba-tiba tersepit.

Nasaruddin berkata, dia dan isteri membawa Dzil Mikhail menaiki tren kerana anaknya sudah lama teringin menaiki tren.

Meskipun kesal dengan kejadian itu, Nasaruddin dan isterinya bertekad untuk membantu Dzil Mikhail keluar daripada trauma dan meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini.

MalaysiaGazette yang turut serta dalam kunjungan itu mendapati, Dzil Mikhail kelihatan letih dan meragam.


Malah, Dzil Mikhail tidak mahu sesiapa memegang beliau kecuali ibunya sahaja.

"Jangan sentuh..mama tolong peluk," itu reaksi manja Dzil Mikhail ketika didekati Rohani.

Sementara itu, Nasaruddin berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) telah berjumpa beliau dan mendapatkan butiran lanjut berhubung insiden yang menimpa anaknya itu.

"Saya mahu DOSH menyiasat insiden ini bagi mencari punca sebenar kejadian. Saya harap insiden ini tidak berulang lagi," katanya. - MalaysiaGazette

No comments