Terkini

Video : Wanita DiBakar Hidup-hidup Kerana DiDakwa Bakar Kanak-kanak

SEKUMPULAN penduduk di Marlon Buzaglo Campos yang marah terhadap seorang wanita yang disyaki membunuh seorang budak berusia dua tahun bertindak membakar suspek hidup-hidup dengan menghumban wanita itu ke dalam api yang sedang marak.

Video : Wanita DiBakar Hidup-hidup Kerana DiDakwa Bakar Kanak-kanak

Memetik laporan Mail Online, kira-kira 500 perusuh menyerbu sebuah balai polis di Brazil dan mengheret wanita berusia 30 tahun itu keluar dari lokap sebelum menghumban suspek ke dalam api di luar balai polis berkenaan.

Rusuhan pada Selasa lalu berlaku kerana orang ramai terlalu marah terhadap suspek yang didakwa membakar sebuah rumah mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun terbakar dan meninggal dunia dalam kebakaran tersebut.

Kumpulan berkenaan memecah masuk balai polis di Novo Aripuana, membakar beberapa kenderaan di sekitar balai dan mengheret suspek keluar dari lokap sebelum menghumbannya ke dalam api.

Polis terpaksa meminta bantuan daripada pihak tentera untuk mengawal dan meredakan rusuhan tersebut.

Menurut jurucakap polis, sekumpulan polis tentera dari Borba dan lapan pegawai polis dari Unit Khas menggunakan pesawat khas telah dihantar bagi berdepan dengan kumpulan perusuh tersebut.


Akibat dihumban ke dalam api, wanita tersebut cedera parah dan melecur teruk. Suspek ditangkap pada Ahad kerana disyaki memecah masuk dan membakar sebuah rumah yang dihuni tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak.

Suspek telah disoal siasat oleh polis, namun mahkamah belum memutuskan hukuman terhadapnya.

Wanita tersebut telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan dan akan dipanggil semula untuk siasatan di sebuah lokasi rahsia bagi mengelakkan insiden serangan dan rusuhan berulang.

MD






No comments