Terkini

Viral Video Samun Berparang Di Kedai Runcit Di Banting

KEJADIAN membabitkan samun menggunakan parang sekali lagi menjadi viral menerusi laman sosial dan kali ini berlaku di sebuah kedai runcit di Kanchong Darat, Banting, Selangor.

Viral Video Samun Berparang Di Kedai Runcit Di Banting


Video kejadian samun terbaharu berdurasi dua minit 39 saat itu memaparkan saat mencemaskan tiga mangsa yang disamun dua lelaki yang bersenjatakan parang.

Kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada Rabu lalu kira-kira pukul 2.25 petang seperti yang dipaparkan dalam rakaman litar tertutup (CCTV) di kedai tersebut.

Dalam video berkenaan, kelihatan seorang lelaki berkaca mata bertindak menetak botol di hadapan tiga mangsa di kaunter bayaran.

Ketiga-tiga mangsa kelihatan terkejut dengan kejadian itu cuba menjauhkan diri daripada suspek sebelum salah seorang daripada suspek cuba merampas telefon bimbit daripada mangsa wanita yang tengah sarat mengandung.

Suspek bagaimanapun berjaya merampas telefon bimbit wanita berkenaan dan mengambil wang di dalam laci serta memecahkan cermin almari menyimpan rokok.


Seorang lagi suspek yang memakai topi bewarna biru mengarahkan ketiga-tiga mangsa keluar dari kaunter bagi memudahkan rakan subahatnya menggeledah dan mengambil barangan bernilai di kaunter termasuk wang.

Kelihatan lelaki berbaju merah yang juga mangsa hanya melihat gelagat kedua-dua suspek mengambil barangan dalam kedai dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Kedua-dua suspek beredar keluar kedai selepas berjaya membawa lari wang tunai dan satu plastik bewarna jingga yang berisi kotak rokok.

Kejadian tersebut berjaya dirakam CCTV dan menjadi viral menerusi laman sosial sejak lewat malam semalam.

Pada 5 Oktober lalu, tiga wanita disamun seorang lelaki bersenjatakan parang sepanjang dua kaki di Ara Damansara, Petaling Jaya selepas kereta mereka diekori suspek.

Suspek yang dipercayai lelaki berusia 17 tahun kini masih dicari bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC

No comments