Terkini

Rogol Wanita Haid, Lelaki Terima Tambahan Hukuman

KUALA LUMPUR – “Perlakuan kamu seperti seekor binatang yang tiada perikemanusiaan. Kamu tidak ambil kira kebajikan mangsa semata-mata untuk puaskan nafsu.”

Rogol Wanita Haid, Lelaki Terima Tambahan Hukuman

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohamad Shariff Abu Samah turut menyatakan tindakan perayu, S. Shasitharan, 21, merogol pekerja salun itu ketika wanita tersebut sedang ‘datang bulan’ adalah sangat jijik dan kotor.

“Kamu juga menggunakan kapak untuk mengugut mang­sa sehingga dia tiada pilihan selain menyerahkan ‘mahkotanya’ kepada kamu. Cara perlakuan rogol itu juga amat dahsyat sehingga laporan perubatan menunjukkan mangsa mengalami koyakan teruk di kemaluannya,” tegas hakim itu.

Hakim Mohamad Shariff kemudian meminda hukuman penjara 10 tahun dan sebatan lima kali yang dikenakan ke atas lelaki terbabit sebelum ini oleh Mahkamah Sesyen di sini kepada 18 tahun dan sebatan 10 kali selepas menolak rayuannya berhubung hukuman tersebut.

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman itu selepas Shasitharan mengaku bersalah merogol wanita warga Thailand yang pada ketika kejadian berusia 18 tahun di dalam sebuah kereta Proton Gen-2 di kawasan Taman Bukit Cheras di sini, pukul 8.50 pagi, 21 November 2015.

Pertuduhannya dibuat me­ngikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara minimum 10 tahun atau tidak melebihi 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Ra­ya, Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili pihak responden manakala perayu diwakili peguam bela, C. Selvarajaa.

Menurut fakta kes, mangsa sedang berjalan kaki untuk ke tempat kerja sebelum lehernya dipaut oleh tertuduh dan turut diacukan sebilah kapak. Gadis terbabit kemudian dipaksa masuk ke dalam kereta sebelum dirogol oleh Shasitharan.

“Kamu duduk di penjara 18 tahun takkan ada apa-apa tetapi mangsa terpaksa menghadapi trauma akibat perbuatan kamu seumur hidupnya,” kata Hakim Mohamad Shariff sebelum mengakhiri prosiding.


Sumber - UtusanOnline






No comments