Terkini

Gadis Melayu "OKU" Hasilkan Kueh Bakul Halal

KEMAMAN -  Setiap kali musim perayaan Tahun baru Cina, sudah pasti kuih bakul atau ‘Nian Gao‘ akan menjadi makanan wajib bagi kaum Cina, namun tentu tidak ramai yang tahu bahawa kuih berkenaan turut diusahakan oleh gadis Melayu dari sini.

Gadis Melayu "OKU" Hasilkan Kueh Bakul Halal

Haziqah Nurul Huda Harun 20, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), telah berjaya mempelorpti bidang pembuatan kuih tradisional masyarakat Cina ini di mana dia menerima tempahan tinggi iaitu 4,000 biji sempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Menurut beliau, dia telah memperlajari cara pembuatan kuih itu dari sahabat Facebooknya, yang berasal dari Beijing, China, dua tahun lepas.

Kuih bakul yang dihasilkan menggunakan adunan tepung pulut, air dangula hasil resepi gadis berkerusi roda menerima pujian ramai pelanggannya diluar sana bahkan pada tahun lepas beliau turut menerima tempahan 500 biji dari Singapura dan Qatar.

Beliau yang mesra dipanggil Yaya berkata, setakat ini walaupun kuih bakul ini mempunyai banyak pantang larang dalam penghasilannya, kuih yang dihasilkannya sentiasa 'menjadi'.

Gadis Melayu "OKU" Hasilkan Kueh Bakul Halal

Yaya yang tinggal di Kampung Bukit Kuang, menghasilkan kuih bakul dari atas kerusi roda selepas dia telah lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu.

“Proses untuk sediakan adunan memakan masa selama empat jam iaitu Yaya buat adunan 70 kilogram tepung secara manual. Selepas adunan dibuat, Yaya akan mengisi adunan tersebut dalam acuan sebelum mengukusnya selama 12 hingga 15 jam bergantung kepada saiz kuih.

“Selepas siap proses mengukus, kuih tersebut akan dibiar dan disejukkan selama sehari sebelum proses pembungkusan dijalankan,” kata Yaya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini.

Beliau yang merupakan anak keempat daripada lima beradik itu berkata perniagaannya berkembang dari hari ke hari sehingga beliau mendapat tempahan hampir 2,000 kuih bakul setiap bulan dan ia bertambah sekali ganda menjelang musim perayaan Tahun Baharu Cina.

“Selain kaum Tionghoa, Yaya juga dapat tempahan daripada syarikat minyak dan gas, kaum Melayu dan ada juga permintaan dari luar negara.

“Yaya hasilkan kuih bakul dengan dua perisa iaitu perisa asli dan perisa durian yang setiap satu dijual dengan harga RM8 hingga RM15 mengikut saiz,” katanya.

Gadis Melayu "OKU" Hasilkan Kueh Bakul Halal

Yaya berkata pada mulanya beliau hanya menggunakan modal RM300 hasil daripada duit raya yang diperolehnya, kemudian beliau terpaksa meminjam duit daripada bapanya Harun Che Muda, 62, untuk membeli barang kelengkapan.

“Yaya pinjam duit abah untuk beli oven, pengukus berkapasiti tinggi dan alat-alat lain…tetapi bila dah dapat untung, Yaya ganti balik duit abah dan sehingga sekarang Yaya habis dalam RM50,000 termasuk mengubah suai dapur untuk dijadikan tempat memproses kuih bakul, sesuai dengan keadaan fizikal Yaya, katanya.

Berkongsi saat getirnya, Yaya berkata suatu ketika beliau pernah menganggap masa depannya hancur apabila beliau tidak dapat menguruskan diri dan hanya mampu terlantar hampir dua tahun.

“Masa tu Yaya tingkatan empat, Yaya diserang demam panas kemudian kedua-dua mata tidak dapat melihat dan doktor juga beritahu gegendang telinga Yaya pecah.

Yaya terpaksa berhenti sekolah awal dan ketika itu Yaya terlantar…hanya kepala sahaja yang dapat bergerak.

“Tapi, alhamdulillah berkat dorongan mama dan abah, Yaya bangkit semula dan mereka berdua yang banyak membantu Yaya untuk melakukan fisioterapi di rumah sehinggalah sekarang ini Yaya dapat bergerak menggunakan kerusi roda walaupun kaki sebelah kiri belum pulih dan tak dapat bergerak."

“Sebenarnya kuih bakul ini Yaya hasilkan setiap bulan kerana ada permintaan daripada pelanggan. Selain kuih bakul, Yaya turut menjual kuih bulan yang menawarkan 29 perisa dan ia dijual dengan harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.


“Lepas ini, insya-Allah Yaya nak kembangkan lagi bisnes dan Yaya berhasrat untuk buka bengkel serta menggaji pekerja sebab nak buat seorang diri dengan kuantiti yang lebih banyak memang tak mampu,” katanya.

Beliau yang tidak pernah mendapat apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak turut berharap agar kerajaan negeri membantunya untuk merealisasikan harapan untuk membina sebuah bengkel bagi memudahkan urusannya.

“Ini sahaja yang Yaya mampu buat untuk masa sekarang…Yaya tak pernah mengikuti mana-mana kursus dan tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yaya harap sangat ada pihak yang sudi membantu,” katanya.


- Bernama

No comments