Terkini

Isu Jatuhkan Najib, Raja Bahrin Tegur Presiden PAS

KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pakatan Harapan mempersoalkan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya tidak mengheret istana dalam isu penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri.

Isu Jatuhkan Najib, Raja Bahrin Tegur Presiden PAS

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah seolah-olah tidak bersetuju dengan pandangan tersebut berkata, perkara itu tidak seharusnya dipersalahkan kepada mana-mana pihak kerana raja mempunyai kebijaksanaan dalam membuat penilaian berhubung kemelut melanda negara dan mana-mana pihak tidak berhak melarang raja daripada membela hak rakyat.

Beliau berkata, jika dikaji kenyataan rasmi daripada dua Mesyuarat Raja-Raja Melayu sebelum ini, pihak atasan itu sememangnya prihatin terhadap isu melanda negara apabila mendakwa antara fokus Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada Oktober 2015 adalah meminta kerajaan menyelesaikan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala mesyuarat pada Februari lepas pula menggesa kerajaan memperhalusi undang-undang Majlis Keselamatan Negara yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Saya sekadar memberi pandangan keadaan yang kononnya pembangkang begitu berpengaruh dan seolah-olah raja-raja Melayu tidak berkeupayaan membuat penilaian sendiri dengan segala kebijaksanaan dan kematangan institusi tersebut. Jangan kita begitu senang menidakkan keupayaan sebuah institusi yang menjadi ‘payung rakyat’ terutamanya dalam era langit terbuka hari ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas laporan Sinar Harian bertajuk ‘Jangan heret istana jatuhkan Najib’ pada Rabu lalu.

Dalam laporan itu, Pas membantah tindakan sekumpulan anti-Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pakatan Harapan yang mahu memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk menjatuhkan perdana menteri.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, sebarang perubahan kepada pentadbiran negara perlu digerakkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkepentingan sahaja.

Mengulas lanjut, Raja Bahrin memberitahu bahawa faktor langit terbuka dan dunia di hujung jari menyebabkan sebarang kemelut melanda negara tidak dapat disembunyikan kepada raja-raja sambil memberitahu zaman pembesar negeri dan negara yang hanya menyampaikan berita baik sementara keperitan rakyat dihalang untuk sampai kepada raja makin berlalu.

Keadaan itu katanya, membolehkan derita dan masalah rakyat terus disampaikan tanpa perantaraan kepada raja-raja, di samping anak-anak raja yang mempunyai pendidikan lebih tinggi memainkan peranan penting sebagai sebaran maklumat secara tepat dan terus kepada istana.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pihak tidak seharusnya menyalahkan pihak tertentu khusus pembangkang terhadap kesedaran istana dengan krisis yang melanda negara hari ini serta tidak memandang ringan keprihatinan raja dalam memahami masalah rakyat.

“Saya ingin memohon semua pihak supaya tidak memperkecilkan keupayaan serta kesungguhan pihak raja-raja Melayu mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara hari ini. Keprihatinan raja-raja kita tentang kemelut negara hari ini patut diakui dan jangan dinafikan,” katanya.

SinarOnline

No comments