Terkini

DiDera Secara Seksual, Isteri Buat Laporan Polis

SIBU: Seorang suri rumah yang mendakwa suaminya gila seks dan kaki pukul, membuat laporan polis terhadap suaminya itu dengan berkata dia tidak lagi boleh hidup bersama lelaki tersebut dan mahu bercerai.

DiDera Secara Seksual, Isteri Buat Laporan Polis
Gambar Hiasan

Wanita berusia 29 tahun itu berkata suaminya yang bekerja sebagai mekanik, 31, mempunyai keinginan seks yang melampau malah mendesaknya untuk memenuhi nafsunya semasa dia sedang datang haid.

Pasangan itu sudah berkahwin selama 10 tahun dan dikurniakan tiga anak berusia antara dua hingga sembilan tahun.

Wanita itu mendakwa suaminya akan mengasarinya setiap kali dia tidak memenuhi nafsunya.

"Kejadian terbaharu berlaku pada pukul 7.30 pagi Sabtu lalu apabila dia mengajak untuk melakukan hubungan seks. Walaupun saya beritahu sedang datang haid, dia tetap memaksa saya untuk melakukannya.

"Sebelum ini dia cuba mencekik dan menampar saya sehingga saya akur dengan permintaannya itu," kata wanita tersebut.


Pada tengah hari Sabtu lalu, wanita itu membuat laporan polis terhadap suaminya kerana dia bimbang mengenai keselamatan anak-anaknya.

"Saya tidak lagi tahan dengan sikap suami saya.

"Dia tidak menghormati saya sebagai isteri walaupun dia beri saya RM1,000 setiap bulan untuk perbelanjaan keluarga," katanya.

Selepas laporan polis dibuat, polis memanggil lelaki itu dan mengarahkannya supaya menyelesaikan masalah tersebut dan juga masa depan keluarganya.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Saiful Bahri Abdullah berkata polis akan mengambil tindakan terhadap lelaki itu jika wujudnya unsur jenayah dalam kes tersebut.

"Memandangkan wanita itu membuat laporan polis untuk menuntut cerai, kami menasihatinya supaya merujuk perkara itu ke mahkamah atau mendapat bantuan daripada badan berkaitan," katanya.


MstarOnline


No comments