Terkini

Saksikan Detik Cemas Kepala Juruterbang Dirempuh Sayap Pesawat, Nyaris Tak Putus Kepala

NEW YORK: Hanya beberapa sentimeter sahaja yang memisahkan seorang juruterbang dengan kematian apabila kepalanya terkena rempuhan sayap sebuah pesawat lain ketika menyertai perlumbaan pesawat di Neveda, baru-baru ini.

Saksikan Detik Cemas Kepala Juruterbang Dirempuh Sayap Pesawat, Nyaris Tak Putus Kepala

Video insiden mencemaskan itu yang melibatkan juruterbang berpengalaman, Thom Richard turut dikongsi dalam laman perkongsian video YouTube dan telah ditonton lebih 591,402 kali.


Rakaman selama satu minit 48 saat itu pada awalnya menunjukkan Richard berada di dalam kokpit dan bersedia untuk berlepas pada acara Formula Satu Gold di Kejohanan Perlumbaan Udara Peringkat Kebangsaan Reno pada 18 September lalu.

Namun secara tiba-tiba enjin pesawatnya mengalami masalah dan dia terpaksa memadamkannya sebelum membuka kokpit untuk memberi isyarat kepada marsyal udara bahawa dia mahu membatalkan penerbangan.


Tetapi isyarat yang disampaikan oleh juruterbang kelahiran Sweden itu lambat disedari oleh tiga pesawat lain di belakangnya yang sudah bergerak untuk berlepas.

Malah satu daripada tiga pesawat itu yang bergerak pada kelajuan kira-kira 96 kilometer sejam nyaris menyebabkan kepala Richard terputus akibat dirempuh sayap kiri pesawat berwarna merah tersebut yang turut gagal melakukan penerbangan kerana mengalami kerosakan.

Kemudian beberapa marsyal udara dan anggota keselamatan bergegas membantu Richard yang kelihatan terkejut dengan insiden berkenaan.

Bagaimanapun Richard bernasib baik kerana hanya mengalami kecederaan kecil pada bahagian tangan kanan yang turut terkena rempuhan sayap pesawat ketika memberikan isyarat kepada marsyal.

Menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook, Richard berkata dia tidak berasa marah dengan insiden itu, sebaliknya rasa bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bernafas.

"Hanya beberapa sentimeter sahaja memisahkan saya dengan maut.

"Namun kejadian ini sesekali tidak mematahkan semangat saya untuk terus berlumba," katanya.


-MstarOnline



No comments