Terkini

Video : Saksikan Rakaman Dramatik Satelit Milik Facebook Meletup

Florida – Sebuah satelit milik laman perkongsian sosial Facebook hancur berkecai apabila roket yang membawanya, Falcon 9 milik syarikat SpaceX meletup di platform pelancaran semasa satu ujian di sini kelmarin.

Video : Saksikan Rakaman Dramatik Satelit Milik Facebook Meletup


Facebook merancang menggunakan satelitnya bagi menyalurkan internet berkelajuan tinggi ke Afrika.

Letupan di Cape Cana­veral itu tidak menyebabkan kecederaan, namun membataskan rancangan Space X milik usahawan internet, Elon Musk untuk merevolusikan teknologi roket dengan mengitar semula komponennya.

“Insiden berpunca daripada tangki oksigen di bahagian atas. Punca letupan belum diketahui,” kata Musk di akaun Twitternya.

Rakaman dramatik yang disiarkan saluran berita ABC News memaparkan roket itu meletup menjadi bebola api besar diikuti beberapa letupan susulan dengan satelit itu jatuh ke tanah, manakala asap hitam naik ke udara.

“Pada pukul 9.07 pagi (waktu tempatan) semasa ujian kebakaran prapelancaran misi Amos-6 (satelit Facebook), berlaku kemalangan di Kompleks Pelancaran Angkasa Lepas SpaceX 40 di Cape Canaveral yang membawa kepada kehilangan kenderaan ini,” kata firma tersebut.


Roket Falcon 9 dijadual­kan membawa satelit Amos-6 ke orbit Bumi hari ini. Insiden itu menimbulkan kekecewaan bos Facebook, Mark Zuckerberg yang ketika kejadian berada di Afrika.


“Saya sungguh kecewa mendengar berita bahawa pelancaran SpaceX gagal dan memusnahkan satelit kami.

“Satelit ini bakal me­nyalurkan perkhidmatan internet kepada begitu ramai usahawan dan penduduk di segenap pelosok benua Afrika,” kata Zucker­berg di laman Facebooknya.

“Kami bernasib baik kerana membangunkan teknologi lain seperti Aquila yang akan menghubungkan rakyat Afrika,” tambahnya, merujuk kepada pesawat berkuasa solar yang dibina oleh Facebook bagi menyalurkan internet ke kawasan terpencil.

Amos-6 merupakan beban paling berat yang pernah dibawa oleh roket SpaceX. Satelit itu dianggarkan berharga antara AS$200 juta (RM817.8 juta) hingga AS$300 juta (RM1.2 bilion).

Kemalangan kali ini adalah insiden yang kedua seum­pamanya sejak SpaceX diasaskan pada 2002 dan setahun selepas roket Falcon 9 gagal dilancarkan pada 28 Jun tahun lalu. – AFP/KosmoOnline







No comments