Terkini

Suami Gigit Hidung Isteri Gara-gara Wang Hantaran

New Delhi - Sebahagian hidung seorang wanita putus selepas digigit suaminya yang berang kerana dia enggan melunaskan wang hantaran atau pulang ke pangkuan lelaki itu selepas mereka berpisah sejak setahun lalu.

Suami Gigit Hidung Isteri Gara-gara Wang Hantaran

Raj Kumari, 21, diserang suaminya Shiv Prasad, 23, ketika berjalan untuk menghadiri kelas pada Selasa lalu.

Prasad tiba-tiba menerpanya dari belakang dan menggigit hidungnya.

Pasangan itu berkahwin dua tahun lepas tetapi berpisah kira-kira setahun lalu sebelum Kumari tinggal semula bersama ibu bapanya di Lakhimpur Kheri, utara India.

Bagaimanapun, Shiv masih menuntut supaya keluarga isterinya membayar wang hantaran yang berjumlah RM9,400 dan sebuah motosikal.

“Suami dan mentua sering mendera saya sejak hari pertama perkahwinan kerana mendesak saya membayar wang hantaran yang dijanjikan.

“Namun jumlah diminta terlalu tinggi.

“Lebih teruk lagi, dia turut menuntut motosikal mewah yang tidak mampu disediakan keluarga saya.

“Disebabkan tidak tahan didera saya pulang ke rumah ibu bapa dan kembali belajar.

“Saya enggan tinggal bersamanya lagi kerana mahu memfokuskan terhadap pelajaran,” katanya.

Menurut mangsa, dia diserang ketika berjalan ke kelas pada Selasa lalu tetapi Shiv terus melarikan diri selepas menggigit hidungnya.

Dia kemudian menghubungi keluarga yang membawanya ke klinik.

Pegawai Perubatan Kecemasan Dr Surjit Kumar Singh berkata: “Sebahagian hidung mangsa putus dan dia perlu menjalani pemeriksaan pakar Telinga, Hidung dan Tekak sebaik pulih.

“Malangnya, kerosakan pada hidungnya tidak dapat dibaiki dan wajahnya akan cacat melainkan mampu menjalani pembedahan plastik.

“Tetapi pembedahan seperti itu amat mahal.”

Jurucakap polis, Inspektor Ashok Kumar Singh berkata, Shiv ditahan di rumahnya pada hari sama.


MyMetro



No comments