Terkini

Remaja Temui Mayat Bayi Di Pangkal Pokok Buluh

SIK – Seorang remaja yang sedang mencari buluh terkejut apabila menemukan mayat seorang bayi dipercayai baru dilahirkan berhampiran rumahnya di Kampung Bukit Batu, Belantik Dalam, dekat sini semalam.

Remaja Temui Mayat Bayi Di Pangkal Pokok Buluh

Menurut remaja terbabit, Muhammad Khairudin Omar, 17, pada mulanya dia ternampak kesan lubang baru dikorek ketika hendak menebang buluh di kawasan itu kira-kira pukul 12 tengah hari.


“Apabila pergi menjenguk saya ternampak mayat bayi. Saya berasa takut dan terus pulang ke rumah untuk memberitahu ibu sebelum menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim memberitahu, siasatan mendapati bayi tersebut dilahirkan empat hari lalu oleh seorang remaja perempuan ber­usia 19 tahun di rumahnya.

“Bayi tersebut ditanam oleh suspek di kawasan itu yang jaraknya 50 meter dari rumahnya pada keesokan hari selepas me­lahirkan bayi itu tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Hasil siasatan juga mendapati ahli keluarganya tidak menge­tahui anak mereka mengandung dan bersalin seorang diri di biliknya,” ujarnya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Ismail, keadaan mayat bayi lelaki yang cukup sifat dan masih mempunyai tali pusat itu sudah busuk ketika ditemukan dalam lubang tersebut.

Katanya, suspek kini ditahan di Hospital Daerah Sik untuk rawatan dan siasatan lanjut.

“Mayat bayi akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” tambahnya.




No comments