Terkini

Wartawan Kongsi Detik Cemas Harungi Suasana Gempa Bumi Di Fukushima

WARTAWAN BH, Ahmad Johari Mohd Ali, hanya sempat mencapai jaket dan tuala serta menyarung selipar sebaik menyedari hotel penginapannya di Tokyo, Jepun, bergegar kesan gempa bumi bermagnitud 6.9 Richter yang melanda Fukushima, awal pagi tadi.

Wartawan Kongsi Detik Cemas Harungi Suasana Gempa Bumi Di Fukushima
Jalan runtuh kesan gegaran gempa bumi


Ikuti catatan pengalamannya dalam mengharungi detik cemas itu. "Saya tersedar pada jam 6 pagi waktu tempatan. Mulanya rasa terpinga-pinga kerana tidak faham apa yang berlaku. Tidak lama selepas itu, barulah saya sedar ia adalah kesan gempa bumi.

"Suasana waktu bagaikan menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) di ibu negara, cuma gegaran di Tokyo jauh lebih mendebarkan. Bilik penginapan saya di Hotel Akasaka Excel bergoyang, membuatkan saya sedikit pening kerana tidak pernah melalui pengalaman ini.

"Saya cuba tenangkan diri walaupun agak panik. Saya bingkas menyarung jaket dan mencapai tuala serta memakai selipar sebelum bergegas ke tangga kecemasan.

"Tuhan saja yang tahu perasaan saya apabila pintu menuju ke tangga kecemasan gagal dibuka. Saya ambil keputusan turun menggunakan lif ke tingkat satu walaupun ia bukan langkah wajar dalam detik kecemasan.

"Sebaik pintu lif terbuka, saya bertemu sebuah keluarga warga dari China. Mereka kelihatan tenang, mungkin pernah melalui pengalaman gempa bumi sebelum ini.

"Apabila keluar di tingkat satu, saya dapati keadaan di luar tenang dan teksi masih berderet menunggu penumpang manakala beberapa warga Jepun yang dalam perjalanan ke tempat kerja kelihatan meneruskan rutin, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Tidak lama selepas itu, ada beberapa penghuni hotel turun ke tingkat satu dalam keadaan terpinga-pinga iaitu dua warga Thailand dan pasangan dari China, selain keluarga China yang ditemui awal tadi.

"Kami ke lobi untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada petugas hotel dan diberitahu gempa sudah berhenti. Kami dinasihatkan pulang ke bilik kerana ia lebih selamat berbanding di luar.

"Kakitangan hotel juga memaklumkan sedang mendapatkan maklumat lanjut perkembangan kejadian menerusi berita di televisyen. "Saya bergegas naik ke bilik untuk berpakaian lengkap sebelum turun ke lobi bagi menunggu rakan lain.

"Seorang warga Jepun yang juga ejen pelancongan yang bersama saya, Maruyama Isao, 51, berkata gempa yang berlaku itu dianggap kecil berbanding apa yang melanda Tokyo bulan lalu.

"Kecil atau besar, saya bersyukur kerana selamat dan tidak terdedah kepada risiko lebih besar. Pengalaman ini pastinya saya kenang sebagai antara pengisian menjadi wartawan."


BHOnline



No comments