Terkini

Penduduk Mahu Pemuda "Budak Hutan" DiSelamatkan

KULIM - Penduduk di Labu Besar, di sini menggesa pihak terlibat segera menyelamatkan seorang pemuda berusia awal 30-an yang hidup di dalam hutan lebih lima tahun lalu.

Penduduk Mahu Pemuda  "Budak Hutan" DiSelamatkan

Pengusaha stesen minyak, Mohd Nordin Ismail, 52 berkata, pemuda yang hanya dikenali sebagai Faizal atau 'budak hutan' itu dipercayai sebelum ini tinggal di Kampung Keda Bagan Sena dengan keluarganya bagaimanapun menghilangkan diri ke dalam hutan dan tidak lagi pulang ke rumahnya.

Menurutnya, keadaan pemuda tersebut begitu menyayat hati dan tidak terurus seolah-olah seperti tidak waras.

“Lebih lima tahun dah penduduk di sini nampak dia. Selalunya dia akan sembunyikan diri dalam hutan.

“Kalau lapar baru dia keluar pergi ke kedai makanan minta nasi dan air. Tapi peniaga yang kenal dengan dia hanya memberi makanan percuma sahaja kerana kasihan dengan nasibnya.

“Kadangkala kalau hujan lebat barulah dia mencari rumah kosong untuk bermalam di situ, bila siang dia masuk ke dalam hutan kelapa sawit dan belukar di sini,” katanya.

Mohd Nordin berkata, waris pemuda tersebut juga pernah bertemu dengannya dan meminta supaya anaknya itu diselamatkan kerana mereka tidak mampu berbuat apa-apa lagi.

“Saya juga pernah membuat aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak polis namun dia berjaya melarikan diri di dalam hutan.

“Walaupun dia tak kacau orang tetapi penduduk gusar kerana Faizal sering membuang najis merata-rata,” katanya.

Katanya, Faizal juga hanya akan berbual dengan orang yang dikenalinya dan sering meminta wang kepada mereka untuk membeli makanan.


SinarOnline


No comments