Terkini

Anemia Musuh Dalam Selimut

BAHAGIAN Kesihatan Pengguna Merck (Merck) melangkah ke hadapan dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit anemia yang disebabkan kekurangan zat besi melalui kempen Menangi Hari Anda.

Anemia Musuh Dalam Selimut

Anemia ialah keadaan darah yang kekurangan sel merah atau hemoglobin dan menyebabkan penghidapnya berasa lemah. Kempen itu diadakan sebagai inisiatif mendidik dan mengubah persepsi masyarakat mengenai penyakit anemia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, kira-kira 30 peratus daripada penduduk dunia menghidap anemia iaitu penyakit paling lazim dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Realitinya, di negara ini, seramai 5,184 orang dewasa telah diuji oleh Merck. Kajian itu mendapati, kira-kira 39 peratus daripada mereka positif. Walaupun tidak berbahaya, anemia sebenarnya boleh membawa kepada pelbagai komplikasi jika dibiarkan berpanjangan tanpa rawatan.

Antaranya, bayi dengan kecacatan kelahiran, perkembangan fizikal dan kognitif terjejas, peningkatan risiko kesihatan kepada kanak-kanak dan mengurangkan produktiviti kerja dalam kalangan orang dewasa.

Menurut Penolong Setiausaha Kehormat dan Ahli Majlis Persatuan Dietitian Malaysia, Dr. Zulfitri Azuan Mat Daud, ramai individu tidak sedar bahawa mereka mungkin menghidap anemia.

Gejala

“Kita sering menjalani kehidupan yang sibuk sehingga adakalanya mengalami keletihan yang berterusan, pening dan sakit kepala disebabkan oleh tidur yang tidak cukup.

“Disebabkan itu, kebanyakan orang sering memandang ringan tanda-tanda keletihan walhal mereka sebenarnya berkemungkinan menghidap anemia tanpa disedari kerana simptom anemia berkait rapat dengan keletihan.

“Disebabkan itu juga, ramai yang berpendapat mereka tidak perlu melakukan pemeriksaan dengan pakar perubatan,” katanya pada majlis pelancaran kempen di Ruang@Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Kesihatan Pengguna Merck, Richard Lee.

Menurutnya lagi, masyarakat sebenarnya perlu lebih proaktif dalam mengambil tindakan mencegah anemia, sekali gus segera mendapatkan bantuan daripada pakar kesihatan jika perlu.

Jelasnya, anemia berlaku apabila tahap sel-sel darah merah atau hemoglobin lebih rendah daripada tahap biasa.

Oleh itu, darah akan mendapat bekalan oksigen yang kurang sedangkan oksigen yang mencukupi adalah penting bagi membolehkan sel-sel darah kekal hidup dan bekerja.

Disebabkan oksigen yang sampai ke organ-organ badan dalam jumlah yang sedikit, maka fungsi sel, tisu dan organ akan terjejas.

Jika tidak dirawat, anemia boleh menyebabkan degupan jantung tidak teratur dan membawa kepada serangan jantung.

Malah, penyakit itu telah menyumbang kepada 20 peratus kematian bayi ketika dalam kandungan di seluruh dunia dan menjadi satu kebimbangan utama bagi negara-negara membangun.

Kehamilan, haid yang berlebihan dan fibroid juga dikesan menjadi antara sebab mengapa ramai wanita menghidap anemia berbanding lelaki.

Kajian di Semenanjung Malaysia mendedahkan, sebanyak 25 peratus wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun dikesan menghidap anemia.

Wanita hamil juga berisiko tinggi mengalami kekurangan zat besi kerana mereka memerlukan lebih banyak darah untuk menyokong pertumbuhan bayi di dalam kandungan.

Sementara itu, Pengarah Hal Ehwal Perubatan Merck, Dr. Dhara Shah berkata, tanda-tanda anemia adalah ringan dan risikonya kurang diketahui kerana kekurangan kesedaran dan pemahaman oleh masyarakat umum.

Namun, melalui peningkatan kesedaran mengenai isu ini, pihaknya percaya rakyat Malaysia akan lebih memahami tentang kesan kekurangan zat besi dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengembalikan kehidupan yang sihat.

Jejas kehidupan

“Sebagai peneraju dalam penjagaan kesihatan dan kesejahteraan, Merck komited untuk memperbaiki dan memperkayakan aspek kesihatan serta kehidupan rakyat Malaysia.

“Kami menasihatkan mereka agar mengambil inisiatif untuk mendapatkan pandangan pakar penjagaan kesihatan kerana jika anemia tidak dirawat, ia boleh menjadi lebih teruk, sekali gus menjejaskan kehidupan harian kita,” jelasnya.

Orang ramai boleh menyemak sama ada mereka berisiko menghidap anemia berdasarkan gejala-gejala yang dihidapi selain digabungkan dengan Carta Warna Konjungtiva iaitu ciri klinikal anemia yang boleh dikesan sendiri mengikut carta.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut atau ingin melakukan pemeriksaan tentang anemia, sila layari laman web www.winyourday.my.



No comments