Terkini

Kemalangan Kereta "Paling Mahal" Di Dunia

BERLIN – Insiden nahas ini mungkin dianggap sebagai antara rekod kemalangan jalan raya paling mahal di dunia apabila ‘mangsa’ ialah model kereta tertinggi harganya di pasaran antarabangsa.

Kemalangan Kereta "Paling Mahal" Di Dunia

Media Jerman melaporkan, kereta jenis hypercar terkenal keluaran firma automotif sportcar berkuasa tinggi terbaik buatan Sweden iaitu Koenigsegg terlibat dalam nahas di Nurburging, kira-kira 657 kilometer dari sini.

Lebih malang, akhbar turut mendedahkan, kemalangan tidak dijangka ini berlaku ketika syarikat kereta mewah berusia 22 tahun tersebut sebenarnya sedang menguji pandu model bernilai £4 juta (kira-kira RM21 juta) itu.

Kereta hypercar terbaharu model Agera Final keluaran Koenigsegg itu dianggap sebagai ‘megacar’ yang pertama seumpamanya di dunia dengan hanya ada tiga buah dan dikatakan mampu memecut lebih 400 kilometer sejam.

Pemandu kereta berkenaan didakwa hilang kawalan di kawasan trek yang sering digunakan pelbagai kereta sportcar untuk menguji kelajuan mereka sebelum terbabas ke penghalang jalan dan akhirnya memasuki laluan bertentangan.

Nahas mengakibatkan kerosakan teruk pada bahagian hadapan dan sisi kereta itu, namun pihak Koenigsegg dalam satu kenyataan media mengesahkan pemandu tersebut selamat dihantar ke sebuah hospital berhampiran.

Akhir tahun lalu seorang lelaki China berusia 26 tahun ‘meranapkan’ sebuah kereta Koenigsegg Agera yang berharga 26.5 juta yuan (kira-kira RM16 juta) di bandar Chongqing, iaitu 1,766 kilometer dari ibu negaranya, Beijing.

Media tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan kereta paling mahal di China dan lebih teruk, pemandu dikenali sebagai Liu itu ditahan pihak polis kerana didapati memandu dalam keadaan mabuk. – MYNEWSHUB.CC

No comments