Terkini

Tunku Aminah Wanita Pertama Presiden Kelab Liga Super

PETALING JAYA: Revolusi bola sepak Johor mutakhir ini membawa erti baharu dengan perlantikan Tunku Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim Ismail sebagai Presiden kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).


Diumumkan melalui laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini, Tunku Aminah satu-satunya wanita yang mengepalai kelab bola sepak Liga Super Malaysia – pertandingan kesukanan unggul di negara ini.

Tunku Aminah merupakan adik kepada Tunku Ismail Idris (TMJ), yang melepaskan jawatan itu pada 12 Julai tahun lalu kepada Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Ismail Karim, setelah berkhidmat di kedudukan itu sejak Disember 2012.

TMJ merupakan pemilik JDT dan penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ). Ismail Karim merupakan Presiden PBNJ.

Puteri Johor berusia 30 tahun itu satu-satunya anak perempuan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, dan anak kedua daripada enam adik-beradik keluarga Diraja Johor.

Beliau adalah bekas pelajar Sekolah Convent Johor Bahru dan Sekolah Antarabangsa Australia di Singapura.

Menurut laporan media sebelum ini, Tunku Aminah, yang lebih popular dikenali sebagai Tunku Inah, gemar bermain sukan berkuda dan seni. Beliau mempunyai diari fesyen rasmi di Instagram, Tunku Tun Aminah OOTD.

JDT berada di kedudukan teratas Liga Super dengan 39 mata, dan merupakan pilihan utama juara liga tiga tahun berturut-turut.

Tunku Aminah merupakan seorang daripada dua presiden wanita kelab bola sepak Malaysia. Siti Zubaidah Abdul Jabar merupakan Presiden PKNS FC, yang bermain di Liga Premier.

Siti Zubaidah bekerja untuk kerajaan Selangor, selaku anggota kumpulan pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).


FMT

No comments