Terkini

Anaknya derita kanser tahap 4

TANAH MERAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dari Kampung Bukit Gading terpaksa berulang-alik ke hospital selepas dikesan menghidap kanser tahap empat sejak tiga bulan lalu.




Semenjak itu juga, anak kepada pasangan Nik Mat Nik Pa, 44, dan Aziliana Ismail, 30, sudah menjalani empat kali kimoterapi dan lima kali ditempatkan dalam wad selama sembilan hari hingga sebulan untuk proses rawatan.

Bagi Nik Mat yang hanya bekerja sebagai buruh kampung dengan pendapatan tidak menentu, manakala Aziliana hanya suri rumah, keadaan itu cukup membebankan mereka kerana terpaksa menampung kos yang tinggi.

Nik Mat berkata, dia memerlukan perbelanjaan tidak kurang RM50 sehari setiap kali Nik Izzat Syazwan dimasukkan ke wad, tidak termasuk kos susu khas untuk pemakanan anak bongsunya itu.

Lebih membebankan, katanya, kos sara hidup yang perlu ditanggung termasuk belanja harian dan wang sekolah seorang lagi anaknya yang berusia 10 tahun kini melebihi pendapatannya.

“Kali terakhir dia (Nik Izzat Syazwan) dimasukkan ke wad ialah pada 6 November lalu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan berada dalam wad selama 12 hari.

“Pada 7 Disember nanti, dia sekali lagi akan menjalani pemeriksaan sebagai persediaan untuk pembedahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Nik Mat, anaknya dikesan menghidap penyakit ‘neuroblastoma with bone metastasis’ (tahap empat) itu selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), 23 Ogos lalu.

“Kami bawa dia ke hospital selepas demamnya berlarutan sehingga tiga minggu dan tidak sembuh walaupun selepas makan ubat tidak seperti sebelum itu.

“Sejak lahir lagi, dia memang kerap demam dan hilang selera makan, tetapi kebiasaannya akan sembuh selepas makan ubat, tetapi bila berlarutan lama, kami bawa dia ke hospital,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan tersebut, doktor mengesan ada ketumbuhan di bahagian atas buah pinggang Nik Izzat Syazwan yang kemudiannya disahkan menghidap kanser tahap empat.

“Kami mengharapkan bantuan terutama bagi menampung kos rawatan dan pembedahan Nik Izzat Syazwan kerana tanpa bantuan, saya tidak tahu sampai bila kami dapat bertahan,” katanya.

No comments