Terkini

Dirempuh treler, anggota bomba dan isteri maut

KOTA BHARU - Seorang pegawai bomba dan isterinya maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dilanggar sebuah lori treler yang terbabas.





Dalam kejadian 11 malam tadi di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Laloh, Kuala Krai dekat sini, pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Pahang, Muhamad Zulkifli Awang, 36, dan isterinya, Shuhada Mat Hassan, 34, mati akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Pegawai Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, dua anak pasangan itu iaitu Nur Umairah Husna, 6, patah kaki kanan dan Muhammad Hafiz Hakimi, 2, pula cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati treler berkenaan hilang kawalan sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Avanza yang dinaiki empat sekeluarga itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad Hanif berkata, mayat pasangan suami isteri itu telah dituntut oleh keluarga mereka pagi tadi dan akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Raja, Besut, Terengganu hari ini.

- Sumber, Bernama

No comments