Terkini

Kanak-Kanak Perempuan Tersepit Rambut Dalam Mesin Urut Kaki

SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menanggung kesakitan lebih 15 minit apabila rambutnya termasuk dalam mesin urut kaki di Kampung Gadong di sini, semalam.

Kanak-Kanak Perempuan Tersepit Rambut Dalam Mesin Urut Kaki
Kanak-Kanak Perempuan Tersepit Rambut Dalam Mesin Urut Kaki
Dalam kejadian lebih kurang jam 11.30 pagi itu, mangsa, Nurul Nabila Kristina Mohd Nazri, 6, bermain mesin urut tapak kaki itu sendirian di dalam rumah sebelum rambutnya tersangkut dalam bahagian pemutar mesin itu.

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku apabila rambut kanak-kanak yang panjang hingga paras pinggang itu termasuk ke dalam pemutar mesin urut itu menyebabkan rambutnya tersepit.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II, Md Munawir Md Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.49 pagi sebelum sebuah jentera berserta enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba lebih kurang 11 minit kemudian, kelihatan rambut Nurul Nabila termasuk dalam mesin urut tapak kaki sehingga hampir ke kepalanya," katanya.

Menurut Md Munawir, pihaknya mengambil masa lebih kurang lima minit untuk mengeluarkan rambut mangsa daripada mesin tersebut.

"Kita terpaksa meminta Nurul Nabila bertenang bagi memudahkan kerja mengeluarkan rambut dengan memusingkan 'roller' mesin urut itu.

"Alhamdulillah, rambutnya berjaya diselamatkan dan tidak perlu dipotong. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

No comments