Terkini

Mendidih Darah Saya Melihat Gelagat Isteri Dan Lelaki Itu, Lantas...

Seorang suami selalu membayangkan kebahagiaan bersama isteri setiap saat dan dengan harapan dapat menjalin ikatan yang lebih akrab dalam mengharungi hidup sebagai pasangan suami isteri.

Mendidih Darah Saya Melihat Gelagat Isteri Dan Lelaki Itu, Lantas...


Yang penting apabila di rumah, isteri sentiasa ada untuk menghiburkan hati setelah penat bekerja. Namun tidak semua impian suami akan tercapai.

Inilah kisah yang saya ingin kongsi dengan pembaca minggu ini, kiriman seorang peminat lelaki ruangan ini yang mahu berkongsi ceritanya dengan kita.

Lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Ilham (bukan nama sebenar) memberitahu beliau ingin berkongsi kisahnya dengan pembaca kerana percaya, ramai kaum Adam di luar sana yang menghadapi masalah sepertinya tetapi tidak tahu bagaimana hendak meluahkannya.
Ingin tahu kisah lanjut mengenai Ilham, kita ikuti catatan di bawah ini:

“Saya berusia awal 40-an, telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Rita (bukan nama sebenar) sejak 20 tahun lalu. Kami dikurniakan seorang anak lelaki.

“Kami bernikah atas dasar cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Di awal perkenalan, saya telah maklumkan kepada Rita yang kerja saya banyak di luar, kadangkala sampai berminggu-minggu tidak balik.

“Ada kalanya saya harus ke luar negara atas urusan perniagaan. Biasalah perempuan sebelum dapat, semuanya tidak menjadi masalah.
“Belum pun masuk tiga tahun, isteri mula buat perangai setelah anak sulung kami lahir. Secara kebetulan, rezeki saya dalam perniagaan melimpah ruah. Jadi, banyak masa saya dihabiskan di luar daerah kerana menguruskan perniagaan tersebut.
“Setahun rumah tangga, kami porak peranda kerana Rita mula merungut saya jarang ada di rumah bersamanya dan anak. Dia membebel setiap hari marahkan saya kerana tidak ada masa untuk bersamanya dan anak kami.

“Saya terangkan kepadanya yang saya kerja sendiri, perlu bekerja keras untuk cari duit bagi membahagiakan mereka berdua, tapi dia tidak faham. Perangainya yang mula mempertikaikan kerja saya merumitkan lagi hubungan kami.
“Rita mula buat hal. Keluar malam berfoya-foya dengan kawan-kawannya, pergi bercuti tanpa izin saya dan meninggalkan anak bersama pembantu rumah berhari-hari lamanya.

“Sebagai suami, tentu saya tidak senang dengan sikapnya yang berubah secara tiba-tiba, hanya kerana kerja saya yang dia telah tahu sejak awal perkenalan kami. Bila saya tegur dia melenting, marah-marah dan ugut hendak berpisah dengan saya.
“Demi anak tunggal kami, kerana sayangkan rumah tangga saya buat tak kisah. Tapi semakin saya diam, semakin dia menjadi-jadi. Hinggalah akhirnya saya dapat tahu yang dia menjalin hubungan sulit dengan seorang lelaki yang telah berkahwin.

“Hubungan mereka sangat mesra bagaikan pasangan kekasih. Kononnya mereka selalu keluar bersama menghabiskan masa di pub dan pusat hiburan apabila saya tidak ada di rumah.

“Apabila saya ada, dia macam baik sahaja. Tidak keluar malam, pergi dan balik kerja macam biasa. Pada mulanya, saya tidak mahu dengar cakap–cakap orang tetapi akhirnya terpaksa akur dengan khabar angin tersebut apabila keluarga saya mula campur tangan dan meminta saya menyiasat sendiri segala dakwaan tersebut.

“Satu hari, saya bagi tahu dia yang saya akan ke luar negara selama dua minggu atas urusan perniagaan.

“Hari yang dijanji pun tiba. Saya keluar rumah pada awal pagi. Saya menunggu di dalam kereta yang saya pinjam dari seorang kawan di simpang ke rumah kami kerana tidak mahu dia perasan kereta saya.

Dua jam menunggu, akhirnya saya nampak sebuah kereta menghampiri rumah kami. Pemandunya, seorang lelaki yang mungkin sebaya saya. Kereta itu berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar rumah saya. Tidak lama kemudian Rita keluar.
“Sebaik kereta itu bergerak saya mengekori kereta tersebut dari belakang. Mereka menuju ke selatan, mungkin pergi bercuti.
“Dalam hati saya berkata, apa nak jadi kali ini jadilah, saya akan buat perhitungan hari ini juga jika ditakdirkan kami bertembung nanti. Setengah jam perjalanan, saya dapat agak yang mereka sedang menuju ke sebuah pusat peranginan.
“Mahu tidak mahu saya terpaksa mengikut juga. Dalam pada itu, saya memerhati dari belakang kereta, kedua-dua mereka sangat mesra, bergelak ketawa macam suami isteri.

“Mendidih juga darah saya melihat gelagat Rita dan lelaki itu, tetapi saya bersabar. Saya mohon Allah kawal kesabaran saya sehingga kebenaran menyerlah nanti.

“Pada masa yang sama, saya hubungi sahabat baik saya yang menguruskan isteri lelaki tersebut. Saya ada rancangan untuk selesaikan masalah saya dan Rita, juga lelaki itu.

“Saya berjaya mengesan alamat lelaki itu dan menghantar wakil untuk menyakinkan isterinya datang melihat sendiri perangai suaminya.
“Kata kawan saya, semuanya berjalan seperti dirancang.

“Saya bawa tiga kawan karib yang saya percaya untuk menjadi saksi ketika saya bersemuka dengan lelaki itu nanti, begitu juga dengan isterinya, saya minta bawa saksi juga untuk selesaikan masalah ini.

“Mereka tiba di sebuah resort hampir tengah hari. Saya biarkan mereka bersendirian dahulu, nak tengok apa reaksi mereka. Selesai urusan daftar masuk di resort tersebut, saya pula mendaftar masuk. Saya cuba check bilik mereka dan minta saya juga diletakkan di tingkat yang sama. Isteri saya ambil bilik berasingan. Alhamdulillah.

“Lewat petang, isteri dan keluarga lelaki itu pula sampai. Saya perkenalkan diri kepada mereka dan jelaskan apa yang telah berlaku di antara suaminya dan isteri saya.
“Saya beritahu mereka yang saya mahu selesaikan masalah itu hari ini juga. Kami mencuri-curi jumpa di luar kerana tidak mahu isteri saya dan pasangannya sedar akan kehadiran kami di situ.

“Malam itu, saya minta pihak hotel sediakan jamuan ringkas untuk kumpulan kami dalam 10 orang. Saya minta mereka hubungi isteri saya dan lelaki itu untuk ikut sama dengan alasan, jamuan itu dibuat oleh sahabat baik mereka sebagai kejutan.
“Alhamdulillah, ketika semua orang sudah bersedia untuk kejutan itu, kedua-duanya muncul dalam keadaan sangat gembira. Sampai sahaja di dewan makan, wajah kedua-dua mereka berubah dan terkejut.

“Isteri saya hampir pengsan melihat saya dan kawan-kawan ada di situ. Lelaki itu menarik tangan isterinya dan membawanya ke tepi.
“Saya dengar dia mula meninggi suara dengan isterinya, tetapi saya menghampirinya dan meminta dia duduk dan berbincang dengan baik untuk selesaikan isu berkenaan.

“Saya perkenalkan diri dan beritahu tujuan saya buat begitu. Mulanya dia agak serba salah tetapi kemudian bersetuju untuk berbincang.
“Dia sangat marah, memaki saya dan berkata saya kurang ajar. Saya bagi tahu dia, kurang ajar lagi kalau berani bawa isteri orang keluar tetapi tidak berani menghadapi kenyataan.

“Saya nasihatkan dia dan minta dia bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
“Keadaan menjadi tegang tetapi berakhir dengan tenang. Rita menangis dan minta maaf kepada saya. Dia mahu bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Saya tidak memberi respons.

“Sementara lelaki itu dan isterinya berbincang dengan serius. Isterinya menangis dan merayu-rayu kepada suaminya. Tetapi saya tidak mendengar apa kata-kata mereka.
“Saudaranya yang hadir turut campur tangan tetapi saya tidak mahu tahu apa perbincangan mereka. Tidak lama kemudian, mereka keluar dari dewan itu tanpa sempat makan.

“Kini hampir 10 tahun telah berlalu, saya juga terputus hubungan dengan lelaki itu dan isterinya. Walaupun saya masih ada nombor telefonnya tetapi saya tidak mahu mengeruhkan keadaan. Biarkan ia tamat di situ.

“Yang lalu biarkan berlalu, yang mendatang kita harungi dengan ketabahan dan kesabaran. Itu azam saya. Pengalaman mengajar kita menjadi lebih dewasa. Perkara telah berlaku, tidak boleh diputar kembali.

“Saya sangat puas hati malam itu kerana dapat selesaikan masalah saya dengan Rita. Saya tidak menolak kemungkinan rasa sunyi menyebabkan Rita mengambil keputusan menjalin hubungan dengan lelaki lain,tetapi itu sepatutnya tidak berlaku.
“Walaupun keluarga melarang saya terus hidup bersama Rita, saya nekad memberi peluang kedua kepadanya. Saya juga ada silap. Saya akan muhasabah diri.

“Rita juga berjanji akan taat kepada saya dan menjadi ibu yang baik dan isteri solehah.

“Saya tahu ramai yang kata saya dayus tetapi saya ada prinsip sendiri. Tidak salah memberi peluang kedua kepada isteri untuk berubah walaupun hati saya tercalar. Semoga Allah makbulkan permintaan saya dan bahagiakan hidup saya dan keluarga di dunia dan akhirat,’’ pinta Ilham.
Saya kagum dengan ketabahan Ilham. Khabarnya kehidupan mereka kini sangat bahagia.

Salam

UtusanOnline

No comments