Terkini

Dia Memilih Islam Untuk "BAHAGIA" Yang Tak Pernah Dikecapi

TIDAK pernah mengecap bahagia sejak kecil hingga melangkah ke alam pekerjaan dan percintaan, seorang wanita bangsa Cina akhirnya memilih agama Islam.

Dia Memilih Islam Untuk "BAHAGIA" Yang Tak Pernah Dikecapi
Gambar Hiasan

Menurut perkongsian seorang pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew, wanita tersebut menangis ketika menceritakan kisah hidupnya.

"Saya balik dari program Keluarga Sunnah, ada seorang wanita berbangsa Cina telefon saya. Akhir perbualan dia nak masuk Islam. Saya berhenti kereta tepi jalan dan menangis. Setelah pelbagai ujian datang minggu ini, rupanya ALLAH nak hadiahkan seorang wanita memeluk Islam.

"Dia menangis ceritakan masalahnya. Dia kena tipu dengan teman lelakinya merangkap bosnya," katanya melalui perkongsian di Facebook.

Wanita itu sempat bertanya kepada Ebit Lew, ruang untuk dia bahagia sedangkan tidak merasa bahagia sejak kecil.

"Katanya, 'Kenapa semua orang mesti tipu saya? Dari kecil saya tak bahagia. Mak ayah saya asyik marah saya. Di sekolah saya pun asyik kena tindas. Sampai kerja dan bercinta pun macam itu. Bolehkah saya bahagia? Ustaz kata semua orang boleh bahagia. Betul ke?'

"ALLAH Tuhan kita, sayang adik ini. ALLAH sayang adik. ALLAH sayang. Betul saudari nak bahagia? Tak perlu tunggu esok atau tahun depan. Sekarang adik akan rasa bahagia," ceritanya.

Setelah berbual seketika, wanita itu akhirnya memilih untuk memeluk Islam.

"Tuhan cuma minta satu saja. Serahkan hati kepadaNYA. Serah hati kepada Tuhan, adik akan bahagia. Caranya, percaya dan mengaku bahawa tiada Tuhan selain ALLAH dan mengaku Nabi Muhammad hamba ALLAH dan pesuruhNYA.

"Dia janji siapa sahaja ingat ALLAH pasti bahagia. Setelah berbual sekejap dia setuju untuk ucap syahadah dulu sebelum kami berjumpa," katanya.

Ceritanya lagi, usai mengucap dua kalimah syahadah, wanita itu menangis.

"Saya ajar beberapa kali. Dia menangis dalam telefon. Saya rasa hati saya teramat tenang. Kalimah itu biasa tetapi kesan begitu kuat kepada yang pertama mengucapkannya.

"Terasa sebak menangis dan perasaan bahagia datang menyelubungi hati. Selepas ini terus minta petunjuk ALLAH dalam solat lima kali sehari. Belajarlah Islam ini dan cintainya," katanya.

Ebit Lew berjanji akan terus membantunya untuk mendalami Islam.

"Cuma satu terasa sedih betapa bahagianya dia ucap syahadah. Ramai lagi orang di luar sana dahagakan bahagia.

"Serahkan hati kepadanya. Sujud padanya. Bahagia milik semua orang," katanya.


SinarOnline

No comments