Terkini

Mikrocip Dipasang Pada Pesalah Jenayah Rogol Di Indonesia

JAKARTA: Mikrocip akan dipasang pada pesalah kes rogol apabila keluar daripada penjara bagi memantau pergerakan mereka, menurut Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia Puan Maharani.

Mikrocip Dipasang Pada Pesalah Jenayah Rogol Di Indonesia
Gambar Hiasan

Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan hukuman berat itu dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Presiden Joko Widodo pada Rabu.

Media-media dalam talian tempatan memetik Puan Maharani sebagai berkata, pemasangan alat mikrocip itu adalah sebagai pemantauan terhadap pesalah dan secara langsung masyarakat akan mengetahui bahawa lelaki yang memakai gelang kaki mikrocip itu adalah bekas perogol.

"Dalam mesyuarat khas tadi memutuskan berkaitan dengan perlindungan jenayah seksual terhadap anak, kerajaan akan mengeluarkan Peraturan Pemerintah Pengganti Undang-Undang (Perpu). Perpu adalah menambahkan lagi hukuman penjara maksimum 20 tahun," katanya.

Peruntukan hukuman terhadap perogol sekarang adalah penjara tidak lebih daripada 10 tahun.

Perpu adalah satu peraturan perundangan yang ditetapkan oleh presiden dan akan dijadikan undang-undang negara selepas ia ditandatangani oleh presiden.

Puan Maharani dipetik berkata, selain pemasangan mikrocip itu, identiti pesalah juga akan disiarkan.

Katanya presiden mahu satu bentuk hukuman yang berat terhadap perogol sebagai membuktikan komitmen kerajaan dalam membela nasib kaum wanita terutamanya kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual.

Sementara itu, Presiden Joko Widodo dalam satu kenyataan yang disiarkan rangkaian televisyen tempatan hari ini, mengarahkan semua pihak relevan termasuk kementerian, polis dan Peguam Negara supaya bekerjasama untuk merangka undang-undang bagi membolehkan pesalah jenayah rogol dikasi.

Beliau berkata dengan adanya hukuman berat seperti itu, ia dapat memberi pengajaran seumur hidup kepada pesalah dan juga terhadap mereka yang ingin melakukan kesalahan itu.
Minggu lepas, seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun yang dalam perjalanan pulang dari sekolah ditemukan mati selepas diculik dan dirogol oleh 14 remaja lelaki yang mabuk dalam satu pesta arak anjuran mereka di Bengkulu.

Tiga hari lepas, seorang lagi remaja perempuan berusia 19 tahun di Manado telah diculik dan dipaksa mengambil dadah sebelum dirogol oleh 15 lelaki.


AstroAwani

No comments