Terkini

1.2 juta Rakyat Tandatangan Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia - Tun Mahathir

PUTRAJAYA: Kira-kira 1.2 juta rakyat negara ini telah menandatangani Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia setakat ini, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

1.2 juta Rakyat Tandatangan Deklarasi Rakyat-Selamatkan Malaysia - Tun Mahathir

Jelasnya, angka itu melepasi sasaran sejuta tandatangan yang dijangka dicapai akhir tahun ini.

"Kami jangka sejuta akan dicapai akhir tahun ini. Namun, dengan perasaan rakyat yang sangat mengagumkan, menyebabkan ia melepasi sasaran," katanya pada satu sidang media di sini.

Menurut Dr Mahathir, ia melibatkan penyertaan secara atas talian dan borang yang diedarkan pihak sekretariat.

Sementara itu, katanya, sebanyak 253,000 borang telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat penyertaan.

Dr Mahathir menjelaskan, kesemua borang yang ditandatangani akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

"Saya mungkin tidak dapat bawa semua borang ini. Namun, saya akan ambil gambar semua borang ini dan beritahu Agong apa yang dirasakan oleh rakyat.

“Saya akan cuba secepat mungkin. Saya akan beritahu Agong bahawa rakyat mahu Najib disingkirkan," katanya lagi.

Tegasnya, kempen Selamatkan Malaysia akan diteruskan sehingga matlamat utama tercapai.

"Kempen ini tidak akan dihentikan. Kami akan dapatkan sebanyak mana mungkin orang," ujar Dr Mahathir.

Beliau pada masa sama mendakwa, ada antara mereka yang menandatangani borang adalah kalangan kakitangan kerajaan.

"Di kampung, kalau mereka tandatangan, mereka akan ada masalah dan tidak akan dapat BR1M. Ini tak betul tetapi ini yang terjadi. Ada antara mereka memakai uniform kerajaan," tambahnya lagi.

Kempen berkenaan berjalan ke seluruh pelusuk Malaysia baik di kawasan bandar mahupun luar bandar.

"Orang ramai tampil dan mereka turunkan tandatangan. Ada yang kita jumpa di pasar malam, individu yang keluar sendiri dapatkan tandatangan. Ini tak pernah dilihat sebelum ini," jelasnya.

Usaha menandatangani deklarasi itu menunjukkan komitmen rakyat untuk melihat perubahan dalam politik negara, kata bekas presiden Umno itu.
"Kita boleh ada demonstrasi jalanan, tetapi apabila kamu tandatangan di atas kertas, maknanya ia komitmen," tegas Dr Mahathir.

Antara tuntutan Deklarasi Rakyat yang dilancarkan pada 4 Mac adalah peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

AstroAwani

No comments