Terkini

Bukit Antarabangsa Markas Penjenayah

Cerita-cerita seram yang dikaitkan dengan Highland Towers menimbulkan rasa gerun kepada orang ramai, namun keadaan kawasan hutan yang sunyi di belakang kondominium itu, memberi peluang kepada penjenayah warga asing untuk menjadikan ia sebagai markas persembunyian.

Bukit Antarabangsa Markas Penjenayah

Highland Towers yang terletak di Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor itu pernah mengorbankan 48 nyawa apabila satu daripada tiga bloknya runtuh pada 1993.

Markas penjenayah berkenaan merupakan dua pondok kecil diperbuat daripada kayu dan kanvas dipercayai dibina sebagai tempat berteduh dan tempat untuk merancang kegiatan jenayah pecah rumah.

Mereka menyasarkan kegiatan pecah rumah terhadap kediaman golongan elit dan kaya di sekitar kawasan Bukit Antarabangsa dan taman berdekatan termasuk Taman Hillview, Taman Sri Ukay, Villa Sri Ukay, Tropicana Villa, Taman Bukit Utama dan Taman Puncak Bukit Utama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hamzah Alias berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya berjaya membongkar markas terbabit yang terletak kira-kira 2 kilometer dari kondominium terbiar itu.

Beliau juga mendedahkan serbuan ke atas markas tersebut pada Mac lepas berjaya membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing, berusia lingkungan 50 tahun, yang dilihat mengawasi markas berkenaan.

Siasatan polis mendapati markas penjenayah itu lengkap dengan sumber makanan, tempat tidur dan dapur sebagai pelengkap untuk mereka menetap di situ.

Berikutan itu, polis turut menemui beberapa bilah parang, barang kemas dan beberapa barang rompakan lain yang ditanam di sekitar kawasan markas tersebut bagi mengelak daripada dikesan.

“Mereka dipercayai mengumpul hasil harta rompakan sehingga mencapai nilai tertentu sebelum mengagihkan kepada anggota kumpulan mereka,” katanya kepada Bernama.

Hamzah berkata, modus operandi penjenayah berkenaan ialah meninggalkan markas itu buat sementara waktu sebelum mengulangi perlakuan jenayah pecah rumah.

Para penjenayah itu dipercayai mengamalkan sihir dan akan meninggalkan najis dan memakan makanan di rumah mangsa yang dirompak sebagai amalan untuk menguatkan ilmu mereka, katanya.

Penemuan markas berkenaan telah membawa polis untuk menjejaki sekumpulan enam penjenayah dengan tiga daripada mereka ditembak mati di Highland Towers pada 12 April.

“Sebenarnya kejadian tembak yang berlaku tempoh hari adalah lanjutan daripada operasi yang dilancarkan berikutan terjumpanya markas persembunyian di dalam hutan itu,” katanya, menambah tiga lagi anggota sindiket berjaya meloloskan diri daripada serbuan.

Hamzah berkata. daripada ketiga-tiga penjenayah yang ditembak itu, dua mempunyai rekod lampau melibatkan pecah rumah dan samun.

Kumpulan yang aktif sejak lebih dua tahun lalu itu dipercayai terbabit sekurang-kurangnya dengan 26 kes samun di sekitar Selangor membabitkan kerugian RM545,900.

Operasi memburu penjenayah yang telah meloloskan diri itu masih diteruskan dengan bantuan Polis Gerakan Am dan Unit Anjing Pengesan, kata Hamzah. – BERNAMA



No comments