Terkini

Akhirnya Mak Terima Balasan Atas Keegoan Dan Kedegilannya

Hidup berumah tangga sering diuji. Macam-macam perkara akan dilalui yang memerlukan kesabaran dan ketabahan untuk mengekalkan kebahagiaannya.

Akhirnya Mak Terima Balasan Atas Keegoan Dan Kedegilannya

Begini kisahnya:

“Saya anak sulung daripada tiga beradik, dua lelaki dan seorang perempuan. Saya sudah bekerja dan berkahwin serta mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun. “Adik kedua saya juga sudah bekerja, sementara yang bongsu masih di kolej. Ayah seorang pesara kerajaan dan ibu bekas guru. Keluarga kami sangat harmoni. Mak dan ayah sangat sayang kepada kami.

“Hubungan mak dan ayah juga sangat baik, mereka sangat sayang antara satu sama lain. Mak selalu dimanja oleh ayah sampai setiap kerja rumah, ayah sanggup buat sebab tidak mahu mak penat.

“Dalam pada itu, mak juga suka memerintah ayah, nak itu ini. Suruh ayah buat air, gosok tudung dan baju dia. Pada hal, mak ada masa untuk buat sendiri semua perkara itu, tapi nak suruh ayah juga. Lama kelamaan apabila saya meningkat remaja, saya nampak yang mak hanya mempergunakan ayah untuk buat semua kerja rumah. Mak macam mengawal ayah. Ayah jadi pak turut. Buat apa sahaja apabila mak suruh.

“Satu hari ayah ditimpa kemalangan. Patah kaki dan tangan. Ini menyebabkan ayah tidak dapat buat apa-apa. Hati saya risau mengenangkan bagaimana makan minum ayah sebab selama ini mak tak pedulikan ayah. Mak pula buat tak kisah. “Tidak sekalipun mak masak makanan untuk dibawa kepada ayah. Biar ayah rasa air tangan mak, mana tahu mungkin ayah akan baik dengan cepat.

Dua minggu di hospital, ayah dibenarkan balik ke rumah untuk berehat. Saya jadi runsing kerana siapa yang akan jaga ayah. Saya dengan keluarga saya dan adik-adik pula masih belajar serta bekerja. “Tapi ayah kata tidak apa. Ayah boleh uruskan sendiri. Ayah boleh masak. Saya sangat kasihankan ayah.

Nenek sebelah ayah mula bising, mengata mak dan suruh mak ambil cuti tanpa gaji untuk menjaga ayah tetapi mak degil. Mak ikut kepala mak sahaja.

“Hubungan mak dengan nenek mula tegang. Ayah semakin risau. Perangai mak pula semakin menjadi-jadi. Akhirnya ayah buat keputusan balik kampung tinggal bersama nenek. Mak tidak menghalang. Mak nampak gembira.

“Kalau abang nak balik tinggal dengan mak abang, silakan, jangan salahkan saya kalau terjadi apa-apa. Itu kata mak. Ayah pula bagi amaran kepada mak, jangan menyesal kalau terjadi apa-apa juga.

“Akhirnya ayah ikut nenek pulang ke kampung. Di kampung, ayah dijaga dengan baik, makan minum disiapkan oleh nenek dengan bantuan sepupu ayah bernama Milah (bukan nama sebenar).

“Memang makcik Milah menolong nenek membuat kerja rumah sebab nenek tinggal seorang diri. Saya dan adik-adik ada juga balik kampung jumpa ayah tetapi mak hanya balik sekali sahaja, itupun selama tiga hari sahaja.

“Mak tetap dengan ego dia, pantang ditegur. Saya berasa terharu melihat bagaimana makcik Milah menjaga ayah. Lalu saya terbayang, andai mak boleh menjadi sebaik makcik Milah dalam menjaga ayah, alangkah baiknya.

“Tetapi itu tidak terjadi, ayah tidak bernasib baik. Mak bukan isteri yang baik untuk ayah, saya menangis mengenangkan apa yang berlaku. Air mata saya menitis setiap kali melihat wajah ayah.

“Akhirnya apa yang saya fikirkan selama ini menjadi kenyataan. Ayah membuat keputusan untuk bernikah dengan makcik Milah atas nasihat nenek. “Saya dan adik-adik tidak bantah kerana kami faham perasaan ayah. Ayah perlukan isteri untuk menjaga makan minumnya kerana ayah tidak ada kemampuan untuk menguruskannya lagi.

“Ayah tidak beritahu mak tentang hajatnya itu. Tapi kami tiga beradik hadir di hari pernikahan ayah dengan makcik Milah. Majlis sederhana tetapi saya berasa sangat tenang dan gembira selepas itu. Ayah sudah ada orang yang menjaganya.

“Akhirnya mak mendapat tahu khabar ayah kahwin dengan makcik Milah dari salah seorang saudara ayah.Apalagi, meletuslah perang dunia…, mak mengamuk di rumah nenek. Dia meraung dan menangis. Ayah pulangkan paku buah keras, di mana mak ketika ayah terlantar di hospital?. Di mana mak apabila ayah keluar hospital sampai nenek terpaksa bawa ayah balik ke kampung.

“Yang menjaga ayah, makcik Milah dan nenek. Mak pun tahu perkara itu. Dari awal sebelum balik kampung, ayah sudah bagi tahu mak, jangan menyesal jika terjadi apa-apa.

“Inilah harga yang perlu mak terima. Mahu tidak mahu mak harus terima hakikat, dia kini sudah bermadu. Mak merajuk dan terus balik Kuala Lumpur selepas mendengar kata-kata ayah.

“Kini rumah tangga ayah dengan makcik Milah aman damai. Mak masih dengan cara hidup dia. Makcik Milah dibawa oleh ayah ke Kuala Lumpur tetapi tinggal berasingan dari kami. Hidup ayah sempurna sekarang. Kami juga tumpang gembira tanpa mengetepikan mak.

“Saya berdoa agar mak akan berubah dan menjadi isteri yang baik dan ibu terbaik buat kami. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa kami,”
demikian Rania menamatkan ceritanya, Memang bermadu itu pahit, tetapi akan menjadi manis andai diterima dengan ikhlas dan bersebab. Kita semua buat silap, tetapi masih boleh dibaiki. Ini juga satu pengajaran buat isteri- isteri di luar sana yang lebih mementingkan diri sendiri dan kerjaya. Menamatkan catatan, sepatah kata daripada saya, Allah akan selalu memberikan ujian di sebalik kesedihan dan akan memberikan harapan di sebalik kekecewaan. Salam

UTUSANONLINE

No comments