Terkini

Doktor "HERO" Hancur Tulang Tangan Tumbuk Penjenayah

ALOR SETAR - Seorang doktor menjadi hero apabila berjaya menumpaskan seorang penjenayah yang bergiat aktif sekitar kawasan perumahan Taman Malik, di sini.

Doktor "HERO" Hancur Tulang Tangan Tumbuk Penjenayah
Azizi (kanan) memberi penerangan tentang borang Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara kepada Dr Muhammad Shauqi
sambil disaksikan oleh isterinya, Dr Noorhaslinda Yeop. Gambar kanan: Penjenayah yang berjaya dicekup Dr Muhammad Shauqi.

Ketua Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Muhammad Shauqi Abdul Kodir, 31, berkata, kejadian terbabit tersemat kukuh di ingatan bukan kerana ia pengalaman pertama, malah dia turut cedera.

“Masa tu saya baru balik kerja dan terus ke rumah ayah di Taman Malik.

“Kira-kira jam 6.30 petang saya ternampak sebuah motosikal dinaiki dua lelaki berhenti depan sebuah rumah yang dijadikan asrama perempuan sekolah agama.

“Pemboncengnya, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an turun dan masuk ke dalam kawasan rumah terbabit sementara rakannya buat pusingan sambil perhatikan saya,” katanya mengimbau kembali detik cemas pada 17 April lalu ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.

Muhammad Shauqi berkata, lelaki terbabit kelihatan sedang memungut kasut yang terdapat di hadapan pintu rumah dan memasukkannya ke dalam beg plastik.

“Melihat tindakan lelaki terbabit, saya terus menjerit. Terkejut dengan jeritan saya, penunggang motosikal terus memecut.

“Kawan dia yang tak sempat naik motor lari menyelamatkan diri dan saya cuba mengejarnya sejauh 50 meter,” katanya.

Menurutnya, pergelutan mula terjadi apabila dia berjaya mencengkam kolar baju lelaki terbabit dari belakang.

“Saya tumbuk mukanya sebelum terjatuh dan tangan kanan terkena bucu konkrit penutup longkang,” katanya.

Muhammad Shauqi berkata, selepas itu, orang ramai datang membantu setelah mendengar bunyi bising di luar.

“Masa tu saya tak tahu tulang tangan saya hancur sebab tak ada pendarahan. Saya hanya pergi ke hospital setelah rasa sakit,“ katanya.

Menurutnya, keputusan x-ray yang dijalankan mendapati tulang tangan kanannya hancur.

“Saya jalani pembedahan dua hari kemudian untuk masukkan besi,” katanya.

Muhammad Shauqi berkata, selepas pembedahan dia berasa ngilu tetapi tidak tahu besi yang dimasukkan itu patah.

“Setelah keputusan x-ray mendapati besi patah, saya jalani pembedahan kedua Rabu lepas untuk gantikan besi lebih tebal," katanya.

Menurutnya, membanteras jenayah bukan sahaja tugas polis semata-mata, malah turut menjadi tanggungjawab penduduk setempat.

“Sebagai penduduk, kita perlu prihatin kerana jenayah berlaku di mana-mana sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kedah, Asisten Komisioner Azizi Mat Aris berkata, tindakan Muhammad Shauqi patut dicontohi.

“Pihak polis turut mempunyai Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara yang memberi bantuan kepada orang awam yang cedera dalam menumpaskan penjenayah,” katanya.

Menurutnya, tabung ini dilaksanakan sejak tujuh tahun lalu dengan bantuan minimum sebanyak RM10,000 dan maksimum RM30,000.


SinarHarian

No comments