Terkini

Pengakuan "Berani Mati" Lelaki ini Gemparkan Mahkamah

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki menggemparkan mahkamah rendah syariah, di sini, semalam, apabila mengaku berniat melakukan persetubuhan haram dengan wanita yang baru dikenalinya menerusi aplikasi WeChat, namun tidak sempat kerana sudah diserbu pihak berkuasa.

Pengakuan "Berani Mati" Lelaki ini Gemparkan Mahkamah

Ahmad Farid Ghani, 23, dari Jalan Tanah Lot, di sini, membuat pengakuan ‘berani mati’ tersebut sebelum dijatuhi hukuman denda RM2,800 selepas dia mengaku salah atas pertuduhan khalwat bersama pasangannya, 15 Februari lalu.

Tidak cukup dengan itu, dia turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang dikenakan.

Keputusan dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas Ahmad Farid mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bagaimanapun, pasangannya, Nor Syakinah Abu Bakar, 25, dari Kampung Durian Burung, di sini, tidak hadir dan waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa syariah daerah ini melakukan serbuan di sebuah bilik rumah penginapan di Taman Semarak, di sini, kira-kira jam 11.30 malam, pada 15 Febuari lalu, sebelum pintu bilik itu dibuka oleh seorang lelaki (Ahmad Farid).

Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan kemudian menemui pasangannya dan soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjawat awam berstatus ‘suami orang’ bersama pasangannya berstatus ‘isteri orang’, masing-masing didenda RM2,900 selepas mengaku bersalah kerana berkhalwat.

Adam Akhbar Shamsudin, 31, dari Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini, dan Lisa Wahyuni, 28, dari Kampung Banggol Katong, Serada, di sini, turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

SinarHarian

No comments