Terkini

Trajedi Malam Nifsu Syaaban, Gadis Maut Tersembam Dalam Besen

TUMPAT - Persiapan menyambut malam Nisfu Syaaban bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak ditemui maut tersembam di dalam besen berisi air dalam kejadian di Kampung Pak Keral, malam kelmarin.


Mangsa, Nur Syamila Amisa Izol, 12, yang dipercayai mati lemas, ditemui ibunya, Syamsiah Daud, 42, di dalam besen itu, kira-kira jam 7.30 malam.

Mangsa dikatakan keluar rumah untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat Maghrib dan mahu ke surau untuk bacaan Yasin sempena malam Nisfu Syaaban, namun hasrat itu tidak kesampaian.

Syamsiah berkata, dia menyedari kejadian itu selepas keluar untuk mengambil wuduk dan agak terkejut melihat keadaan anaknya dalam keadaan tersembam di dalam besen.

“Selepas kakak dan adik arwah selesai solat Maghrib, saya terus turun ke tanah untuk mengambil wuduk.

"Saya tak sedar arwah atau lebih mesra dipanggil Mila tiada dalam saf solat Maghrib bersama kakak dan adiknya, sedangkan selama ini mereka bertiga akan menunaikan solat Maghrib bersama,” katanya.

Menurut Syamsiah, Nur Syamila yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik, belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting.

Katanya, Allahyarham menghidap penyakit misteri sejak dua tahun lalu menyebabkan dia kerap pengsan dan diserang sawan.

“Kadangkala empat kali sehari arwah pengsan. Di kepalanya banyak kesan parut dan luka akibat jatuh apabila dia pengsan tiba-tiba.

“Mungkin ketika dia sedang berwuduk, penyakitnya datang menyebabkan dia jatuh tersembam di dalam besen,” katanya.

Menurutnya, dia reda dengan pemergian anaknya itu dan mengakui Allahyarham merupakan anak yang soleh, sentiasa baca al-Quran dan menjaga solat.

Sementara itu, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kok Bedulah, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian itu.

“Kes kematian diklasifikasikan mati mengejut dan hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya.


SinarOnline

No comments