Terkini

60,000 Tahanan Syria Maut Diseksa

DAMSYIK  – Sekurang-ku­rangnya 60,000 orang dilaporkan terbunuh akibat diseksa dan menerima layanan buruk ketika dipenjarakan di Syria, sejak perang saudara meletus di negara ini lima tahun lalu.

60,000 Tahanan Syria Maut Diseksa

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria dalam laporannya menyebut, maklumat terbabit diperoleh berdasarkan sumber sahih yang menyatakan kebanyakan kematian berlaku di pusat tahanan milik agensi perisikan tentera udara, agensi keselamatan negara dan di penjara Sednaya di Damsyik.

Menurut laporan itu, kebanyakan tahanan meninggal dunia akibat diseksa, tidak mendapat makanan yang cukup dan tidak menerima rawatan segera.
Jelas laporan berkenaan, Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria sendiri merekodkan kematian 14,456 tahanan termasuk 110 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.

“Sumber juga memberitahu bahawa pihak penjara atau agensi kerajaan menanam tahanan yang meninggal dunia dalam kubur besar,” tambah laporan tersebut.

Pihak pembangkang Syria menggesa kerajaan Damsyik membebaskan tahanan bagi memudahkan misi kemanusiaan dan menghormati rundingan damai yang berlangsung di Geneva.

Awal bulan ini, rusuhan tercetus di sebuah penjara di Hama, tengah Syria membantah tindakan pihak berkuasa melakukan pemindahan sesetengah banduan ke penjara Sednaya. – AGENSI

No comments