Terkini

Klasifikasi Laporan 1MDB Sebagai Rahsia Tidak Logik, Kata Ahli PAC

Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menolak cadangan supaya laporan audit mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, mengatakan ia tidak logik.

Klasifikasi Laporan 1MDB Sebagai Rahsia Tidak Logik, Kata Ahli PAC
Klasifikasi Laporan 1MDB Sebagai Rahsia Tidak Logik, -Kata Ahli PAC 

Ahli Parlimen Selayang William Leong berkata apa yang beliau tahu tidak ada perkara sedemikian akan berlaku kecuali “akan ada kejutan esok”.

Semua 14 ahli PAC akan bertemu esok untuk mendengar taklimat ketua audit negara mengenai laporan akhir syarikat sarat hutang 1MDB.

Leong yang juga seorang peguam berkata demikian ketika memberi respons terhadap berita di sebuah portal menyatakan laporan berkenaan diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, mengikut pemahamannya dalam undang-undang, hanya Kabinet dan dokumen majlis eksekutif negeri boleh diklasifikasikan di bawah OSA.

“Anda tidak boleh sewenang-wenang mengklasifikasikan laporan ketua audit sebagai rahsia. Sesiapa yang cuba berbuat demikian nampaknya tidak faham undang-undang,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada 10 Julai, ketua audit negara menyerahkan laporan interim dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mendakwa laporan itu mendapati tidak ada bukti salah laku.

Susulan taklimat daripada laporan ketua audit itu, PAC akan membuat keputusan sama ada perlu atau tidak memanggil saksi lagi.

Leong berkata apa yang lebih penting ialah membuat keputusan sama ada akan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau tidak ke hadapan PAC untuk menjawab sebarang soalan.

Najib yang merangkap menteri kewangan juga adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

PAC, di bawah bekas pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed, memulakan prosiding terhadap 1MDB awal tahu lalu selepas dakwaan RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib ditimbulkan dalam satu laporan oleh The Wall Street Journal (WSJ).

WSJ berkata sumber dana itu tidak diketahui, tetapi melaporkan wang berkenaan dimasukkan menerusi entiti berkaitan 1MDB melalui beberapa bahagian, dengan jumlah terbesar AS$681 juta disalurkan ke akaun Najib pada Mac 2013, menjelang pilihan raya umum pada Mei tahun itu.

Nur Jazlan sebelum ini berkata PAC tidak dapat menunggu laporan ketua audit mengenai syarikat bermasalah itu kerana ada terlalu banyak spekulasi umum mengenai keadaan kewangan syarikat pelaburan negara itu.
1MDB dikritik teruk kerana mengumpul lebih RM42 bilion hutang dalam tempoh 6 tahun beroperasi.

Bagaimanapun, Nur Jazlan dan 3 lagi ahli PAC lain meletak jawatan daripada jawatankuasa itu susulan pelantikan mereka ke dalam Kabinet pada Julai tahun lalu.

Prosiding itu tertangguh hingga Hassan, yang baru menjadi ahli Parlimen Rompin selama 5 bulan ketika itu dilantik sebagai pengerusi PAC pada Oktober.

WSJ yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada Selasa memetik penyiasat antarabangsa berkata lebih AS$1 bilion daripada 1MDB ditemui dalam akaun bank peribadi Najib, bukan RM2.6 bilion seperti dilaporkan sebelum ini.

1MDB dan pegawai kerajaan menafikan dakwaan itu dan menuduh WSJ mempunyai agenda tersendiri untuk menyingkirkan Najib dan mencemar nama baik Malaysia.



TheMalaysianInsider

No comments