Terkini

Lelaki Maut Tersepit Antara 2 Lori

Sabak Bernam: Kelindan maut apabila tersepit di bahagian tepi antara dua lori selepas satu daripada lori itu tiba-tiba bergerak di kuari di Jalan Sungai Panjang, Sungai Besar, dekat sini, pagi tadi.

Lelaki Maut Tersepit Antara 2 Lori
Lelaki Maut Tersepit Antara 2 Lori 

Dalam kejadian 8.50 pagi itu, mangsa Zakaria Che Saman, 38, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di dada dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Katanya, mangsa bersama seorang lagi rakannya yang juga pemandu lori meletakkan lori membawa muatan tanah itu berdekatan lori lain dan menunggu giliran untuk mendapatkan kupon berhubung tugas yang dilakukannya.

"Lori dinaiki mangsa diletakkan di kawasan berbukit dan tidak rata manakala pemandu lori berkenaan ketika kejadian sudah keluar dan tidak ada di dalam kenderaan berkenaan.

"Mangsa yang ketika itu berada berdekatan lorinya mendapati lori itu tiba-tiba bergerak.

"Mangsa cuba masuk ke dalam lori di bahagian tempat duduk pemandu untuk menekan brek namun gagal apabila dia tersepit di bahagian tepi antara dua lori, katanya.

Katanya, kejadian disedari rakan mangsa yang kemudiannya menghubungi polis.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk dibedah siasat

"Lori berkenaan di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk siasatan lanjut," katanya


HMetro

No comments