Terkini

Baca Komen Sultan Johor Isu TMJ Dikritik Bersalaman Dengan Wanita

JOHOR BAHRU: Sultan Johor menggesa masyarakat Melayu supaya tidak meminggirkan budaya unik mereka, dengan bertitah bahawa baginda berasa kurang senang dengan mereka yang mahu umat Islam menghentikan amalan bersalam walaupun ia merupakan amalan tradisi.

Baca Komen Sultan Johor Isu  TMJ Dikritik Bersalaman Dengan Wanita
 Komen Sultan Johor Isu  TMJ Dikritik Bersalaman Dengan Wanita 

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa baginda masih berpegang kepada 'adat dan tradisi orang Melayu kerana saya dilahirkan sebagai orang Melayu'.

"Jika ada sebahagian daripada anda mahu menjadi orang Arab dan mengamalkan budaya Arab, serta tidak mahu mengikut adat istiadat dan tradisi Melayu kita, itu terpulang kepada anda.

"Saya juga mengalu-alukan anda untuk tinggal di Arab Saudi.

"Itu adalah hak anda tetapi saya percaya ada orang Melayu yang bangga dengan budaya Melayu. Sekurang-kurangnya saya menjadi diri sendiri dan tidak hipokrit dan rakyat Johor tahu siapa pemerintah mereka," titah baginda.

Baginda bertitah, sebagai contoh, baginda lebih suka menggunakan istilah seperti Hari Raya, bukannya Eid al-Fitr, atau buka puasa, bukannya iftar.

"Saya telah menggunakan terma Melayu sejak saya kecil dan bercakap dengan almarhum ayahanda saya sejak 50 tahun yang lalu.

"Saya tidak mempunyai hasrat untuk menggantikan terma-terma ini dengan terma Arab," titah baginda.

Baginda bertitah kepercayaan terhadap agama tidak dilihat berdasarkan kriteria luaran seperti pakaian untuk memaparkan hubungan seseorang dengan Tuhan, sebaliknya 'apa di dalam hati dan fikiran adalah lebih penting'.

Baginda menegaskan bahawa adalah salah untuk seseorang itu dihukum seperti itu.

"Tuhan yang akan menghakimi kamu. Jika anda ingin menasihati seseorang, panggil mereka dan berbisik, jangan memalukan mereka," katanya.

Sultan Ibrahim bertitah, semasa acara Kembara Mahkota, baginda berjabat tangan dengan beribu-ribu orang termasuklah wanita.

"Mengapa saya perlu ubah? Anda tidak perlu menjadi fanatik. Jika mereka (wanita) tidak pasti, saya akan tanya jika mereka mahu berjabat tangan dengan saya. Jika mereka tidak mahu berjabat tangan dengan saya, tidak ada masalah," titah baginda.

Ketika diminta mengulas mengenai kontroversi baru-baru ini di mana Putera Mahkota Tunku Ismail dikritik di media sosial kerana bersalaman dengan isteri pemain JDT Mohd Safiq Rahim, Sultan Ibrahim bertitah bahawa wanita itu yang mahu bersalam dengannya.

"Dia hanya menghulurkan tangan. Mengapa perlu mengkritik? Saya percaya ini dilakukan oleh segelintir pihak dari tempat lain yang cemburu dengan pasukan bola sepak JDT," titahnya

Sultan Ibrahim bertitah, ini adalah cara Johor dan memberi memberi pesanan kepada mereka yang tidak mahu berjabat tangan mengambil langkah menjauhkan diri.

Tidak lama selepas kejadian itu, Tunku Ismail menyiarkan video sindiran di Facebook yang menunjukkan beliau berjabat tangan dengan dua wanita mamakai sarung tangan besar.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat yang baru-baru ini meletakkan notis mengingatkan wanita Islam mengenai dosa tidak menutup aurat yang dipasang pada papan tanda di sepanjang jalan raya di sini.

"Ini adalah salah. Ini bukan peranan mereka. Sejak bilakah JKR terlibat dalam perkara ini?," soal baginda.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad kemudian berkata pegawai yang bertanggungjawab ke atas perkara itu telah diarahkan untuk menurunkan notis itu.

"Sejak bilakah JKR, sama ada di peringkat daerah atau negeri, ditugaskan menjaga hal-hal agama? Tugas utama mereka adalah untuk memastikan jalan-jalan dijaga dengan baik, bukan bimbang tentang rambut wanita," titah Sultan Ibrahim.

Sultan bertitah bahawa baginda mempunyai keyakinan dan kepercayaan terhadap rakyat Malaysia kerana majoriti daripada mereka adalah orang-orang yang baik dan tahu tentang agama.

"Bukan menjadi urusan jabatan kerajaan untuk bimbang tentang pakaian orang ramai. Hanya jalankan tugas untuk apa yang dibayar dan buat urusan sendiri".

Mengenai mesyuarat baru-baru ini dengan beberapa kumpulan agama di UAE, Sultan Ibrahim bertitah bahawa orang-orang Arab lebih terbuka pada masa kini.

"Mereka semakin terbuka. Sebelum ini wanita di Arab Saudi tidak dibenarkan untuk memandu tetapi mereka secara beransur-ansur membenarkannya. Bahkan sesetengah wanita menyertai politik," titahnya sambil menambah keadaan itu juga berlaku di Iran.


MstarOnline

No comments